Malaysia Dateline

Bukan sekadar berterima kasih, PIBG perlu beri imbuhan pada ‘guard’ yang jaga trafik

Bukan sekadar berterima kasih, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di sekolah-sekolah kebangsaan perlu kreatif dalam menghargai pengawal keselamatan yang membantu mengawal trafik di perkarangan sekolah termasuk memberi imbuhan kepada mereka.

Itu antara saranan warganet susulan penyebaran klip video ringkas yang memaparkan seorang pengawal keselamatan berhujan demi mengawal lalu lintas di perkarangan Sekolah Kebangsaan Subang Bestari 2 di Shah Alam, Selangor.

Video yang dikongsikan PIBG sekolah itu dilihat meraih perhatian orang ramai dengan ada antaranya menyarankan persatuan itu mengeluarkan sedikit dana untuk mendapatkan petugas trafik daripada anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

Hal ini memandangkan tugas menjaga lalu lintas tidak termaktub dalam tugas harian pengawal keselamatan di sekolah.

“Ini adalah tugas tambahan, bukan tugas hakiki. Budi bicara antara pihak sekolah dengan pengawal keselamatan serta tambahan sedikit imbuhan kepada pengawal sebagai saguhati membantu pihak sekolah,” syor netizen.

Sementara itu Siti Salmah pula berpendapat usaha untuk menjaga kebajikan pengawal keselamatan juga perlu diuar-uarkan kepada ibu bapa penjaga murid-murid.

“Tidak mustahil juga ada keluarga yang bermurah hati untuk membantu dari segi tambahan sumbangan.

“Sebenarnya banyak cara boleh dilaksanakan untuk menjaga keselamatan pelajar terutama sekolah rendah jika kreatif dalam membuat sebarang tugasan tambahan yang difikirkan perlu,” tambahnya lagi.

Baca juga Terlalu ramai gagal kuasai 3M, cikgu ini dedah realiti ‘wabak’ buta huruf murid Tahap 1

Baca juga Pening nak fahamkan anak, guru pun harap pencipta silibus Matematik Tahun 1 masuk mengajar