Malaysia Dateline

Bukan sekali Najib sumpah laknat, mufti pun dah tegaskan itu tiada dalam perundangan Islam

Tindakan Datuk Seri Najib Razak malam tadi melakukan sumpah mubahalah di Masjid Kampung Baru mengundang kecaman banyak pihak termasuk dianggap memperalat agama dan mencemari institusi masjid.

Sumpah Najib yang terpalit dengan kes SRC International Sdn Bhd (SRC) membabitkan dana RM42 juta itu mengulangi tindakan sama di masjid yang sama pada 20 Disember 2019 apabila menafikan terlibat dalam kes pembunuhan Altantuya.

Semalam, Najib – menggunakan kata ganti diri “aku” – antara lain berkata tidak mengarahkan mana-mana anggota atau pengarah atau mana-mana pegawai SRC untuk menyelewengkan apa-apa dana syarikat SRC ke dalam akuan bank atas namanya untuk apa-apa tujuan sekali pun.

“Sejak aku diberikan amanah memimpin negara Malaysia sehingga kini aku tidak pernah, pertama, pada bila-bila masa mengetahui secara khusus atau sebaliknya bahawa dana RM42 juta itu datangnya dari syarikat SRC secara langsung atau tidak langsung,” katanya ketika membacakan teks sumpah berkenaan selepas selesai solat hajat dan doa munajat bersama jemaah masjid.

Berikut kenyataan penuh Naib Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Muhamad Fadzil Ahamad yang turut mempersoal tindakan Menteri Agama ekoran sumpah laknat dilakukan Najib itu:

Semalam, dilaporkan bahawa Datuk Seri Najib bin Tun Abdul Razak telah sekali lagi melafazkan sumpah ‘mubahalah’ atau sumpah laknat menafikan pengetahuan beliau tentang wang RM42 juta yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi adalah berpunca daripada sumber SRC International.

Sumpah laknat dibuat Datuk Seri Najib tersebut bukanlah yang pertama beliau lakukan. Pada 2019, bekas Perdana Menteri tersebut pernah bersumpah laknat menafikan penglibatan beliau dalam kes pembunuhan Altantuya di masjid yang sama beliau melafazkan sumpah semalam.

Walhal Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan melalui kenyataan pada 23 Disember 2019 jelas menegaskan bahawa sumpah laknat tidak ada dalam perundangan Islam.

Malah dalam kenyataan sama menyarankan agar pihak berkuasa agama menguatkuasakan peraturan bagi melarang apa-apa majlis yang berkaitan sumpah laknat melibatkan kes yang sedang dibicarakan mahkamah, bagi mengelakkan masjid dimanipulasi mana-mana pihak.

Memandangkan isu ini menjadi perhatian umum, kami menggesa agar Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Datuk Hj Idris Ahmad menjelaskan pendiriannya dalam isu ini dengan kadar segera dan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang telah mencemar atau menyalahguna institusi masjid demi kepentingan peribadi dan politik.

Baca juga Sumpah Najib dalam kes jenayah sivil bidaah, tidak pernah berlaku dalam sejarah Islam

Baca juga Hangat bercinta kongsi gambar lucah, video bogel: Malu besar sampai berhenti universiti akibat dendam bekas teman wanita