Malaysia Dateline

Sumpah Najib dalam kes jenayah sivil bidaah, tidak pernah berlaku dalam sejarah Islam

Perbuatan melakukan sumpah di dalam masjid menafikan bahawa dia adalah pelaku perbuatan jenayah sivil adalah satu perkara asing dan bidaah. Amalan sebegini tidak pernah berlaku dalam sejarah Islam.

Malah, dalam sejarah Malaysia pun tidak pernah berlaku kejadian sebegini yang mana sumpah tersebut boleh memberikan kesan menafikan perbuatan jenayah yang berlaku.

Kejadian sepelik ini berlaku pada zaman kini? Apakah kini kita di ambang kiamat dan di era kedatangan dajal? Perbuatan ini menimbulkan persoalan undang-undang yang patut dicerap oleh pihak berkuasa sivil dan pihak berkuasa Islam.

Perbuatan menafikan perlakuan jenayah yang telah berlaku di masjid adalah satu perbuatan mungkar yang hendaklah ditegah dan dicegah. Bayangkan jika Sirul dan Azilah Hadri mahu ke masjid dan menafikan perbuatan jenayah pembunuhan Altantuya. Adakah hal tersebut boleh dibuat?

Sabitan di Mahkamah adalah berdasarkan bukti dokumentar dan kesaksian saksi-saksi. Proses Mahkamah akan bermula dengan proses pertuduhan yang akan dibuat oleh pihak pendakwa raya. Pihak pendakwa raya akan membawa kesemua bukti-bukti itu. Pihak yang tertuduh berhak untuk membela diri sama ada dengan sendiri atau menggunakan peguam.

Lebih baik jika pihak tertuduh mengupah peguam kerana proses di Mahkamah adalah sangat teknikal dan tektikal. Pihak pembelaan dibenarkan untuk melakukan soal balas (istilah soal silang lebih tepat jika diterjemahkan perkataan ‘cross-examination) terhadap saksi-saksi pendakwa.

Tujuan soal silang adalah untuk memastikan bahawa kenyataan saksi itu adalah berkredibiliti dan boleh dipercayai. Pernah terjumpa dulu ungkapan yang menyatakan ‘cross-examination is the greatest engine for discovery of truth’.

Setelah segala proses pengemukaan bukti oleh pendakwa selesai, pihak Mahkamah akan memanggil pihak pembelaan untuk memberikan keterangan sekiranya terdapat bukti-bukti prima facie. Prima facie ini maksudnya ada kes yang kuat yang menyebelahi pendakwaan. Dalam undang-undang disebut ‘if unrebutted warrant conviction’. Maksudnya, jika bukti-bukti itu tidak ditepis maka adalah selamat untuk Mahkamah berpegang kepada bukti-bukti itu untuk mensabitkan tertuduh.

Proses memberikan keterangan di pihak pembelaan juga adalah sama seperti peringkat pendakwaan. Cuma kali ini, pihak pendakwa raya pula diberikan peluang untuk membuat soal silang ke atas saksi-saksi pembelaan.

Setelah proses itu selesai, pihak-pihak akan diberikan peluang untuk menggulung bukti-bukti itu dan berhujah kenapakah akan berlaku sabitan atau sebaliknya. Hujahan-hujahan ini akan disokong dengan dalil-dalil. Dalam kes sivil, dalil-dalil ini adalah akta-akta dan prinsip-prinsip undang-undang yang telah diputuskan dalam kes-kes duluan (case precedent).

Setelah itu, baharulah Mahkamah akan membuat sabitan atau tidak. Proses ini semua akan berjalan di peringkat perbicaraan awal (originating jurisdiction).

Contohnya, kes Dato’ Sri Najib ini bermula di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, maka apabila berlaku sabitan kes akan dirayu ke Mahkamah Rayuan. Di peringkat rayuan, proses mengambil keterangan seperti yang dinyatakan di atas sudah tidak berlaku. Proses mengambil keterangan itu hanya berlaku di Mahkamah Tinggi sahaja.

Apa yang akan berlaku di peringkat rayuan adalah pihak-pihak hanya akan mengemukakan rayaun atas alasan penghakiman yang diberikan oleh Hakim Mahkamah Tinggi (iaitu dalam kes Dato’ Sri Najib ini adalah Hakim Nazlan) berdasarkan maklumat yang dicatat dalam Rekod Rayuan. Rekod Rayuan ini adalah satu dokumen yang mengandungi Petisyen Rayuan (Alasan Merayu), dokumen-dokumen yang diekshibitkan di Mahkamah Tinggi dan juga nota perbicaraan (iaitu kenyataan setiap saksi). Hakim Mahkamah Rayuan ini akan memeriksa semula sama ada alasan penghakiman yang diberikan oleh Hakim Mahkamah Tinggi itu sejajar atau tidak prinsip undang-undang berdasarkan Rekod Rayuan.

Setelah selesai di Mahkamah Rayuan, sekali lagi ada peluang merayu di peringkat Mahkamah Persekutuan. Pihak pendakwa raya atau pihak tertuduh boleh merayu jika tidak berpuashati dengan alasan Mahkamah Rayuan. Contohnya, dalam kes Dato’ Sri Najib ini Mahkamah Rayuan ini menyatakan tertuduh sebagai ‘National Embarassment’ (Insan yang membawa aib atau kesipuan kepada negara), maka perayu boleh merayu bahawa alasan ini adalah tidak kukuh. Mahkamah Persekutuan akan menyemak kembali alasan penghakiman Mahkamah Rayuan ini.

Sayugia dinyatakan bahawa di peringkat rayuan, tiada sebarang bukti baharu boleh dimasukkan kecuali dengan kebenaran Mahkamah. Dato’ Sri Najib cuba memasukkan bukti baharu iaitu bahawa Hakim Nazlan ini seorang yang rasuah (akhirnya alasan ini ditarik balik) dan bahawa Hakim Nazlan ini mempunyai konflik kepentingan berdasarkan satu siasatan SPRM. Kertas siasatan SPRM ini tidak didedahkan kepada orang ramai walaupun ianya sangat mudah dicari di media sosial khasnya di twitter. Ini pun satu hal yang aneh, SPRM perlu jelaskan bagaimanakah kertas siasatan sudah bocor. Ini semua boleh merosakkan pandangan pelabur terhadap keutuhan sistem perundangan negara ini.

Tujuan pihak perayu berbuat demikian adalah untuk menyatakan bahawa alasan penghakiman Hakim Nazlan itu dibuat dengan tidak wajar (atau dalam bahasa mudah ‘adalah untuk pekena tertuduh’). Malangnya, Mahkamah Persekutuan menyatakan bahawa berdasarkan alasan penghakiman Hakim Nazlan, Mahkamah Persekutuan mendapati bahawa alasan penghakiman Hakim Nazlan itu sejajar dengan Rekod Rayuan dan tiada penampakan bukti yang menunjukkan Hakim Nazlan itu bertindak di luar keterangan yang diberikan di dalam mahkamah.

Justeru, permohonan perayu untuk memasukkan bukti baharu itu telah ditolak. Ini amat mengecewakan pihak Dato’ Sri Najib dan peguamnya. Mungkin kerana pihak perayu tahu alasan penghakiman Hakim Nazlan dan Mahkamah Rayuan itu sangat kuat dan sukar untuk diterbalikkan (reversed) oleh Mahkamah Persekutuan dan satu-satunya harapan perayu untuk menang adalah jika dibenarkan bukti baharu ini dimasukkan.

Maka, bagaimanakah pula sumpah di dalam masjid ini boleh menjadi satu hal yang boleh mempengaruhi Hakim Mahkamah Persekutuan. Tentu sekali, peguam Dato’ Sri Najib tahu bahawa ianya tidak membawa apa-apa kesan kepada kesnya.

Apa tujuan Najib, kenapa diheret sama institusi masjid?

Justeru, apa tujuan Dato’ Sri Najib berbuat demikian? Ini adalah satu perkara yang membingungkan kerana tentunya ianya sangat bidaah dalam amalan kepeguaman dan dari segi hukum agama Islam.

Perkara yang menarik hati juga adalah bagaimana institusi masjid boleh diheret sama dalam konflik ini. Di manakah AJK-AJK masjid berada pada waktu itu? Bagaimanakah AJK-AJK masjid ini boleh berkompromi memberikan ruang dan mikrofon kepada Dato’ Sri Najib?. Adakah pihak JAWI tahu hal ini dan membiarkan hal ini berlaku? Persoalan ini perlu dijawab oleh Menteri Agama, YB Senator Datuk Hj Idris Ahmad.

Jika perbuatan sebegini dibenarkan maka eloklah pihak JAWI dan pihak masjid membuka buku daftar khas untuk memberikan peluang kepada pesalah-pesalah atau tertuduh lain untuk sama-sama membuat sumpah di masjid.

Jika ianya tidak dibenarkan maka satu pertuduhan perlu dibuat di Mahkamah Syariah ke atas Dato’ Sri Najib dan semua pihak termasuk AJK-AJK masjid yang berkompromi supaya ianya menjadi pengajaran kepada semua pihak untuk tidak bermudah-mudah mencemarkan kesucian masjid sebagai tempat ibadat. DYMM Yang di-Pertuan Agong patut mengambil tindakan segera sebagai Ketua Agama Islam untuk mempertahankan kesucian institusi ini. Semakan mendapati sekurang-kurangnya siasatan boleh dibuat menurut Seksyen 7 atau 32 Akta Kesalahan Jenayah Syariah
(Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 (Akta 557) yang memperuntukkan seperti berikut:

Seksyen 7. Menghina, atau menyebabkan dipandang hina, dll. agama Islam.
Mana-mana orang yang secara lisan atau secara bertulis atau dengan gambaran yang tampak atau dengan apa-apa cara lain-
(a) menghina agama Islam atau menyebabkan agama Islam dipandang hina;
(b) mempersendakan, mengajuk-ajuk atau mencemuh amalan atau upacara yang berhubungan dengan agama Islam; atau
(c) mempersendakan atau menyebabkan dipandang hina mana-mana undang-undang yang sedang berkuatkuasa di Wilayah Persekutuan yang berhubungan dengan agama Islam.adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

Seksyen 32. Memusnahkan atau mencemarkan masjid, surau, dsb.

Mana-mana orang yang memusnahkan, merosakkan atau mencemarkan mana-mana masjid atau surau atau tempat beribadat lain atau apa-apa kelengkapannya dengan niat menghina atau mempersendakan agama Islam adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

Jika kita masih ingat, pada tahun 2011 dahulu pernah berlaku insiden sumpah di Masjid Amrul Al-As, Bandar Baru Sentul oleh Datuk Shazryl Eskay Abdullah berkaitan pelaku video seks seorang ahli politik. Saiful Bukhari Azlan juga pernah bersumpah di Masjid Wilayah Persekutuan pada tahun 2008. Kini setelah hampir 10 tahun peristiwa sumpah itu, berlaku sekali lagi insiden yang mencemarkan institusi masjid ini dan pihak JAWI serta Menteri Agama perlu berbuat sesuatu untuk mengelakkan mana-mana menyalahgunakan institusi suci ini untuk kepentingan kes masing-masing.

Seperkara lagi, oleh kerana sumpah sebegini adalah sangat bidaah maka ulama-ulama ternama tanahair seperti SS Mufti Perlis dan pakar hadis Dr Rozaimi Ramli boleh memberikan pandangan beliau untuk manfaat umat. Jika perkara bidaah sebegini tidak dicegah maka buruklah imej Islam di mata rakyat Malaysia.

Baca juga: Najib canang sentimen agama dengan sumpah laknat, rupanya ini kali ke-4 dia bersumpah kes SRC

Baca juga: Lepas ini kalau nak karaoke di Kelantan, pastikan tutup aurat dengan sempurna