Mohamad Sabu lawat ladang telur, bawa cadangan kepada Kabinet

Oleh BORHAN AHMAD

Menteri Pertanian dan Keselamatan Makanan, Haji Mohamad Sabu melawat ladang penternakan ayam dan ladang pengeluar telur untuk mendengar dan melihat sendiri isu-isu yang sedang dihadapi oleh pengusaha ayam dan telur pagi ini.

Turut serta bersama beliau adalah para pegawai kanan kementerian beliau.

“Apa yang saya dengar tadi akan saya bincangkan lebih lanjut bersama pegawai di MAFS sebelum semua cadangan dari Kementerian dibawa ke pengetahuan kabinet.

“InsyaAllah minggu hadapan saya akan bertemu dengan Menteri KPDN untuk mencari jalan penyelesaian bersama supaya bekalan telur di negara kita kembali pulih dan stabil sepertimana yang diharapkan oleh rakyat,” kata Mohamad dalam satu kenyataan di Facebook beliau petang ini.

Isu harga dan ketiadaan telur di pasaran telah menjadi isu yang dihadapi oleh rakyat negara ini.

Sejak lebih sebulan lalu, telur biasa telah berkurangan di pasaran menyebabkan ramai pengguna merungut.

Ekoran itu, hanya telur yang berkualiti tinggi dengan harga yang lebih mahal pula memasuki pasaran.

Dalam sidang medianya, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pihaknya sedang berusaha untuk menyelesaikan masalah ini dengar kadar yang segera termasuk menurunkan harga telur di pasaran.

Mohamad Sabu dalam kenyataan pertamanya pula berkata, pelbagai usaha sedang dibuat termasuk berusaha mengimport telur dari luar negara jika bekalan tempatan tidak mencukupi.

BACA JUGA Isu RM600 bilion: SPRM fokus siasatan pada dana RM92.5 bilion, lagi RM430 bilion bukan wang kerajaan