Malaysia Dateline

Isu RM600 bilion: SPRM fokus siasatan pada dana RM92.5 bilion, lagi RM430 bilion bukan wang kerajaan

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan dana kerajaan yang dibelanjakan kerajaan Perikatan Nasional semasa pandemik Covid-19 dua tahun lalu, hanyalah sebanyak RM92.5 bilion.

Selebihnya dana berjumlah lebih RM437 bilion bukan wang kerajaan.

Justeru kata SPRM, fokus siasatan kini terarah kepada RM92.5 bilion dana kerajaan daripada nilai dakwaan penyelewengan wang perbelanjaan negara yang dianggar hampir RM600 bilion.

“Hasil siasatan awal mendapati jumlah peruntukan yang terlibat dianggarkan berjumlah RM530 bilion. Berdasarkan jumlah tersebut, RM92.5 bilion melibatkan dana kerajaan manakala RM437.5 bilion bukan daripada kerajaan.

“Justeru, fokus siasatan SPRM akan terarah kepada dana sebanyak RM92.5 bilion berkenaan,” katanya.

SPRM turut mengesahkan sudah menerima butiran berhubung pecahan dana pakej rangsangan ekonomi yang dibelanjakan kerajaan pada 2020 dan 2021 berhubung pengurusan Covid-19 daripada Kementerian Kewangan

“Pihak Kementerian Kewangan sedang memperincikan pecahan tersebut dan akan menyerahkannya kepada SPRM minggu depan,” katanya lagi.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, pegawai Kementerian Kewangan mengesahkan berlaku pelanggaran serius berhubung prosedur perbelanjaan hampir RM600 bilion ketika pentadbiran kerajaan di bawah Tan Sri Mahiaddin Md Yasin.

Semalam, SPRM mengesahkan satu kertas siasatan berhubung dakwaan berkaitan penyelewengan itu telah dibuka.

Media sebelum ini melaporkan beberapa pihak antaranya Mahiaddin; bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz akan memberi keterangan mengenai salah guna dana itu.

Baca juga: Tunggu malam ini, Anwar akan umum senarai timbalan menteri

Baca juga: Video budak berpaut belakang lori kini tular di Indonesia