Malaysia Dateline

Calon BN dikecam gagal bertutur bahasa kebangsaan

Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kesidang, Leong Hui Ying dikecam warganet kerana gagal bertutur dalam bahasa kebangsaan.

Video pemegang Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Pertuturan di Universiti Shih Hsin, Taiwan itu yang terkial-kial menjawab soalan pemberita tular dan dikongsikan pengguna media sosial.

I will try my best (saya akan cuba yang terbaik),” katanya ringkas ketika ditanya soalan bagaimana ingin bersaing dengan senior di dalam politik selepas beberapa soalan terdahulu gagal dijawab.

Hui Ying, 29, yang juga Timbalan Ketua Biro Penerangan MCA Negeri Melaka dilihat tidak bersedia untuk menjawab walaupun ditanya dalam ayat yang ringkas dan mudah.

Bekas pelajar Sekolah Menengah Persendirian Cina, Puey Fong High School Melaka tersebut juga dilihat sempat bertanyakan rakan di sebelahnya dalam bahasa Cina bahawa dia tidak tahu bagaimana untuk menjawab soalan yang diajukan.

Wo bu zhi dao (saya tidak tahu),” kata Hui Ying yang merupakan produk UEC itu kepada individu di sebelahnya ketika ditemubual pemberita.

Sehubungan itu, rata-rata warganet menyelar keputusan BN menampilkan calon bertanding yang gagal bertutur dalam bahasa kebangsaan ketika ramai graduan warganegara China fasih berbahasa Melayu.

“Apalah yang nak diharapkan dengan calon macam ini. Nak cakap dengan orang kampung pun payah begini,” komen pengguna Facebook, Zulfakar Ishak.

Warganet turut mengingatkan penguasaan bahasa kebangsaan merupakan hal wajib yang tidak boleh diambil mudah sekiranya mahu menjadi wakil rakyat.

“Minta maaf cik. Bahasa kebangsaan wajib tahu,” kata Tirumal Subramaniam.

Untuk rekod, Hui Ying yang merupakan guru perubatan alternatif juga menduduki jawatan Timbalan Ketua Biro Penerangan Wanita MCA Kebangsaan dan Penolong Setiausaha Pemuda MCA Bahagian Kota Melaka.

Kerusi DUN Kesidang yang disandang DAP menyaksikan dua lawan Hui Ying juga berketurunan Cina iaitu Seah Shoo Chin (PH-DAP) dan Patrick Ng Chin Kae (PN-Gerakan).