Malaysia Dateline

Calon PH di Parlimen Padang Serai, M Karupaiya meninggal dunia

Calon Pakatan Harapan bagi kerusi Parlimen Padang Serai, M. Karupaiya disahkan meninggal dunia hari ini di Hospital Kulim.

Perkara tersebut disahkan Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution dalam satu kenyataan hari ini.

Karupaiya dilaporkan dimasukkan ke hospital beberapa hari lalu akibat muntah dan penat.

Mendiang sempat menghadiri ceramah sempena Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada 14 November lalu bersama pimpinan tertinggi PH di Kulim.

“Jasa mendiang di Parlimen, kepada warga serta Cabang Padang Serai, dan juga kepada Angkatan Tentera Malaysia terutama para veteran akan sentiasa dikenang.

“Mendiang meninggal dunia di dalam perjuangan menegakkan keadilan demi Malaysia yang lebih baik. Semangat ini akan diteruskan oleh para pejuang Keadilan dan Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum ke-15 ini,” kata Saifuddin.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Mohd Redzuan Salleh, berkata mendiang meninggal dunia di Hospital Kulim pada jam 2.27 petang tadi.

Baca juga: Wah! Volkswagen cipta kerusi pejabat, siap boleh dipandu lagi!

Baca juga: Penduduk protes, roboh sekatan ‘lockdown’ kerana penat disuruh berkurung