Malaysia Dateline

Cedera madu – Isteri ketiga berparang dengan isteri keempat

Seorang wanita didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Pilah hari ini atas tuduhan mencederakan madunya yang juga isteri keempat dengan parang.

Wanita yang juga isteri ketiga itu, Ruslyzay Shawaratuaini Che Roslan, 36, dari Puchong, Selangor didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera ke atas wanita berusia 41 tahun menggunakan parang jam 4.30 petang, 15 Oktober lalu di rumah di FELDA Lui Timur.

Lapor BH, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326 A Kanun Keseksaan.

Ruslyzay pada mulanya mengangguk faham atas pertuduhan terhadapnya dan beberapa kali mengaku bersalah di hadapan Hakim Norma Ismail.

Namun, tertuduh menukar pengakuannya kepada tidak bersalah selepas diberi penerangan oleh mahkamah dan ditanya sama ada faham atau tidak pertuduhan yang dibacakan terhadapnya.

Tertuduh yang sebelum itu mencelah bagi menafikan tindakannya itu turut menerima teguran Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Amirul Noor Hashimi yang mahu tertuduh menjawab soalan yang ditanya sahaja.

Norma kemudian mengenakan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin selain tertuduh tidak dibenarkan mendekati mangsa dan pasport antarabangsanya diserahkan kepada mahkamah.

Baca juga Doktor tertua di dunia kerja 9 pagi sehingga 6 petang

Baca juga Padah tak dengar cakap doktor, wanita maut tercekik gigi palsu