Malaysia Dateline

Doktor tertua di dunia kerja 9 pagi sehingga 6 petang

Seorang doktor tertua di dunia dari Amerika Syarikat (AS) masih bekerja sepenuh masa di Klinik Cleveland dari 9 pagi hingga 6 petang.

Dr Howard Tucker yang berusia 100 tahun dan menetap di Cleveland berkata, beliau telah dijangkiti Covid-19 beberapa hari selepas menyambut hari jadinya yang ke-100, Julai lalu.

Namun, kata pakar neurologi yang lahir pada 10 Julai 1922 itu, beliau masih mampu mengajar secara dalam talian sepanjang tempoh pemulihan pandemik tersebut.

“Saya percaya persaraan adalah musuh kepada umur yang panjang. Malah ketika muda saya tidak pernah sekali pun mempertimbangkan hal persaraan.

“Apabila kita seronok melakukan apa yang kita buat dan berkemampuan meneruskannya, kenapa perlu bersara?” lapor UPI, dipetik Harian Metro.

Selain terselamat daripada wabak Covid-19, Tucker juga melalui Kemelesetan Besar, Perang Dunia II dan krisis sejarah seabad.

Sepanjang hayatnya, beliau tidak berhadapan dengan penyakit berat tetapi pada lewat 80-an, Tucker patah leher semasa bermain ski.

Dalam usianya 67 tahun, beliau lulus Ohio Bar Exam lantaran minatnya dalam undang-undang.

Sementara itu, isteri Tucker, Sue yang berusia 89 tahun juga masih berkhidmat sebagai psikoanalisis.

Tucker menerima pengiktirafan Guinness World Records pada Februari 2021 ketika berusia 98 tahun 231 hari.

Beliau menyifatkan pengiktirafan itu sebagai penghormatan dan satu lagi pencapaian dalam kehidupannya yang membahagiakan.

Baca juga Cantik luar busuk dalam – Kaum Hawa sendiri dedah perangai pengotor tahap gaban rakan serumah

Baca juga Tergamak culik dan samun nenek tua, 4 lelaki berjaya larikan emas dan duit RM16