Malaysia Dateline

Import telur hanya sementara – Ini punca sebenar mengapa sudah berbulan bekalan telur tidak cukup

Malaysia dikenali sebagai negara pengeksport telur. Pengeluaran telur negara pada waktu dahulu telah melebihi 100 peratus sehingga boleh dieksport.

Namun, pandemik Covid-19 dan PKP telah menyebabkan permintaan telur menurun dengan mendadak kerana sekolah, hotel, kedai makan, kedai kek dan sebagainya tidak dapat beroperasi.

Akibatnya, pengeluar telur terpaksa mengurangkan kos operasinya dan terpaksa mengecilkan pengeluaran. Anak ayam penelur yang baru tidak dibeli, ramai pekerja mereka dihantar pulang ke negara asal mereka.

Kebanyakan anak ayam penelur dibeli dari luar negara. Anak ayam penelur perlukan 2.5 bulan untuk mula bertelur. Pada usia 3 bulan, telurnya bersaiz kecil (Saiz C & D), pada usia 7 bulan ayam penelur akan dijual sebagai ayam pencen kerana produktivitinya telah menurun.

Apabila negara mula memasuki fasa pemulihan Covid-19 dan pelbagai sektor ekonomi mula dibuka, permintaan telur mula meningkat. Waktu ini supply kurang, demand meningkat dan kesannya harga telur naik mendadak.

Rakyat mula merungut kerana harga telur semakin mahal. Kerajaan terdahulu ambil keputusan mengenakan kawalan harga pada telur supaya harga telur tidak naik mendadak.

Biasanya kawalan harga hanya dibuat pada musim perayaan tetapi kerajaan telah mengenakan kawalan harga berterusan hingga sekarang.

Sebanyak 80 peratus makanan ayam penelur adalah jagung yang diimport. Sejak tahun lalu, harga jagung dunia naik berlipat kali ganda dan penurunan nilai mata wang negara kita telah memburukkan lagi keadaan.

Situasi ini menyebabkan kos pengeluaran telur naik mendadak dan banyak syarikat kecil terpaksa ditutup kerana tidak mempunyai aliran tunai yang sihat.

Kawalan harga menyebabkan pengeluar telur tidak lagi mendapat keuntungan dan mula menanggung kerugian. Pengeluaran telur negara berkurangan dari 120% kepada 100%.

Untuk mengurangkan kerugian pengeluar telur, kerajaan terpaksa memberi subsidi RM200 juta sebulan kepada mereka. Setahun kerajaan terpaksa menanggung hampir RM2.4 billion subsidi. Ini suatu jumlah yang sangat banyak.

Harga makanan ayam terus meningkat sehingga kini. Subsidi yang diberi tidak lagi mencukupi untuk menanggung kerugian pengeluar telur. Jadi, pengeluar telur terpaksa mengeksport telur keluaran mereka ke Singapura dan Hong Kong untuk meningkatkan pendapatan syarikat.

Keuntungan itu diguna untuk menampung kerugian yang mereka tanggung kerana menjual telur dalam negara. Ada syarikat telur yang jualannya RM20 juta setahun tetapi untung bersihnya hanya RM20,000 sebulan.

Jika kerajaan menghentikan eksport, maka lebih banyak pengeluar telur akan tutup kedai. Akibatnya, bekalan telur dalam negara akan berkurangan dan keadaan akan jadi lebih meruncing.

Jika kerajaan menambah subsidi, maka lebih banyak wang rakyat akan diguna untuk membayar subsidi. Dilema ini kita boleh faham dengan mudah.

Jika kerajaan menarik balik kawalan harga, harga telur akan naik mendadak – rakyat sudah tentu akan marah.

Apabila Kerajaan Perpaduan mengambil alih kerajaan, ketiadaan telur di pasaran sudah pun berlaku berbulan-bulan lamanya.

Tahun hadapan ekonomi dunia dijangka akan lebih mencabar. Negara kita pula tidak pernah mengimport telur. Jika apa-apa berlaku pada pengeluar telur tempatan dan bekalan terus meruncing, apa plan B negara?

Suka atau tidak suka, kerajaan perlu ada SOP dan Pelan Kontigensi untuk mengatasi sebarang kemungkinan. Maka, idea mengimport telur perlu dicuba supaya negara lebih bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan.

Keputusan import telur hanya langkah sementara

Pada 6 Disember lalu, kerajaan umum akan mengimport telur dari beberapa negara luar untuk mencukupkan bekalan dalam negara. Dalam masa 10 hari, negara berjaya bawa masuk telur dari sumber luar. Syarikat yang mengeksport telur ke Malaysia hari ini adalah syarikat yang sama membekalkan telur ke Fifa World Cup. Langkah import ini hanyalah langkah sementara.

Teorinya mudah. Apabila supply telur sudah melebihi demand, harga telur akan turun. Apabila harga telah stabil, kerajaan tidak perlu lagi mengawal harga dan memberikan subsidi. Wang negara dapat dijimatkan. Penjimatan ini boleh diguna untuk membangunkan lebih banyak usahawan telur ayam.

Kerajaan tidak menanggung apa-apa kos import telur. Kos dan risiko ditanggung sepenuhnya oleh syarikat yang mengimport. Semua syarikat yang berminat mengimport telur boleh memohon kepada kerajaan.

Tiada monopoli dalam urusan ini. Semuanya telus. Namun, perlu ingat, kebenaran import ini akan dikaji semula apabila bekalan telur kembali stabil. Dalam tempoh enam bulan akan datang mungkin kerajaan tidak membenarkan lagi telur diimport.

Untuk mencukupkan semula bekalan telur ayam negara, sekurang-kurangnya akan mengambil masa setahun kerana ia melibatkan beberapa kementerian.

Misalnya, isu kekurangan pekerja melibatkan Kementerian Sumber Manusia. Isu kawalan harga melibatkan KPDN, projek pembukaan ladang penelur baru melibatkan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) manakala isu subsidi bersasar untuk rakyat termiskin melibatkan Kementerian Ekonomi dan Kementerian Kewangan.

Untuk makluman, negara kita sudah pun ada pelan jangka pendek dan pelan jangka panjang yang komprehensif. Ianya sudah pun mula dilaksanakan satu persatu.

Keutamaan Kerajaan Perpaduan hari ini untuk memastikan keterjaminan makanan negara dan nasib rakyat terus terbela tidak wajar dipertikaikan kerana keazaman itu sangat jelas apabila MAFI (Food Industry) ditukar ke MAFS (Food Security).

Moga catatan ini dapat memberikan sedikit pencerahan pada semua.

*Penulis adalah Setiausaha Akhbar kepada Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan.

Baca juga Fokus tangani cabaran ekonomi – Bukan keutamaan KPM iktiraf UEC