Ayda Jebat memberitahu cincin bekas kekasih kepada suaminya yang menjadi ‘prop’ dalam video muzik single baharu, Tak Bisa Lepas hanya ingin menyelitkan kepedihan yang pernah mereka lalui.
Menurutnya, dia tidak merasakan penggunaan cincin itu sebagai isu atau mungkin ada yang menganggap masih belum ‘move on’ kerana mendapatkan persetujuan suami, Nabil Mahir sebelum membuat keputusan.
Sehubungan itu, Ayda, 30, memohon maaf jika video muzik itu mengundang rasa kurang senang pihak tertentu.
“Saya sedar pasti ada yang akan mempertikaikan kenapa perlu mengungkit semula kisah lama, sedangkan kami sudah bahagia.
“Sekiranya ada pihak yang terasa hati atau mempertikaikan tindakan, jawapannya mudah sahaja. Saya hanya ingin menyelitkan kepedihan yang pernah kami lalui,” dipetik BH Online.
Pelakon Pinjamkan Hatiku (2017) itu berkata sebelum beliau bertemu dengan Nabil seterusnya mendirikan rumah tangga pada 1 Januari 2021, masing-masing mempunyai sejarah dalam percintaan.
“Bukannya kami terus gembira dan bahagia. Setiap individu yang pernah bersama pasti berdepan peristiwa mematangkan mereka,” jelasnya.
Penyanyi Temberang itu berkata, jika suaminya sempat memberi cincin lamaran kepada bekas teman wanita berkenaan, mungkin beliau tiada dalam hidupnya dan masih sibuk bekerja.
“Single Tak Bisa Lepas ditulis dan dirakamkan, tiga tahun lalu. Ia adalah perjalanan kisah hidup dalam menyelami isi hati dan membawa perhubungan ke fasa lebih serius.
“Apa yang terlintas sepanjang perkenalan dengan suami, saya tulis dalam lagu ini sebagai memori kami.
“Lagipun, sudah agak lama saya tidak muncul dengan single baharu. Jadi, saya berharap single Tak Bisa Lepas dapat diterima baik pendengar dan pasangan sedang bercinta,” kata Ayda lagi.
Baca juga ‘Waktu banjirlah peruntukan senang lulus!’ – Rakyat sindir kalau PRU15 dibuat musim bah
Baca juga Terkilan rakan minta sijil kematian adik, lelaki kongsi sebagai peringatan