Malaysia Dateline

Congkak budaya universal, dari Asia hingga Eropah ada versi tersendiri

Congkak yang dikenali sebagai antara permainan tradisi Melayu sebenarnya merupakan budaya universal atau sejagat. ‘Seni’ permainan indoor yang melibatkan pengiraan ini merentas sempadan benua.

Disebabkan sifat mengira dalam permainan yang ada komponen “papan congkak”, “buah congkak” dan “rumah” iaitu dua lubang di setiap hujung papan congkak; maka murid sekolah rendah amat digalakkan untuk bermain congkak. Sambil seronok mereka bermain congkak dapat mengasah penguasaan kira-kira terutama sifir tujuh.

Permainan yang akan dimenangi oleh individu yang cekap mengira dan mencongak ini bukannya dicipta oleh Dinasti Chola (300SM–1,279M) seperti dakwaan pihak tertentu.

Sebaliknya, congkak wujud jauh lebih awal daripada dinasti Chola lagi.

Itu sebabnya penulis Helmi Effendy menegaskan bahawa sikap over-claim perlu dielak dengan lebih banyak membaca dan berlapang dada tentunya.

Ikuti tulisan lanjut beliau mengupas mengenai permainan tradisi dunia ini:

“Antara rekod arkeologi terawal Congkak yang dapat dijejak pada permainan congkak ialah ditemui di Rom. Mereka temukan batu-batu dan papan yang menyerupai congkak ditemui di situ.

Usia artifak ini didapati berusia sekitar abad ke-2 dan ke-3 Masihi. Ia ditemukan di kota Gedera, Israel pada sisa peninggalan rumah mandi awam yang dibangunkan oleh Rom.

Lebih awal lagi, penemuan artifak-artifak seakan-akan congkak berusia 5000 hingga 7000 SM telah ditemui di Jordan.

Henry Parker pada tahun 1909, mendakwa bahawa menemui sebuah papan yang menyerupai congkak di sebuah kuil Ramesseum, berdekatan dengan kota Luxor, yang didakwanya berusia sehingga 1,400 SM.

Adapun dua penemuan ini masih dibahaskan sama ada penemuan-penemuan ini boleh dianggap sebagai nenek moyang kepada sukan congkak.

Congkak sudah jadi satu budaya yang wujud merata-rata di dunia. Sarjana lebih suka mengatakan penemuan di Rom itu merupakan penemuan terawal mengenai congkak dalam sejarah.

Di Sudan, ia dikenali sebagai Alemungula. Di Pulau Jawa, ia dikenali sebagai Dakon. Orang Filipina panggilnya sebagai Sungkha. Orang Arab mengenalinya sebagai Mancala dan ia menjadi perkataan rasmi dalam bahasa Inggeris merujuk kepada Congkak.

Di Kazakhstan, ia dikenali sebagai Toguz korgool, di Jerman ia dikenali sebagai Das Bohnenspiel.

Jadi, congkak sudah jadi budaya universal. Dari Afrika, Asia dan Eropah semuanya ada versi congkak tersendiri.”

Congkak versi bangsa Jerman dipanggil Das Bohnenspiel.

Baca juga Main congkak kuasai ‘jantung’ Matematik, ini 8 tips mudah hafal sifir

Baca juga Tak habis isu berpesta, Perdana Menteri Finland mohon maaf gambar tak senonoh pula tersebar