Malaysia Dateline

Main congkak kuasai ‘jantung’ Matematik, ini 8 tips mudah hafal sifir

Murid di sekolah rendah terutama di Tahap Satu (Darjah Satu hingga Tiga) elok diajar main congkak untuk menguasai sifir yang merupakan ‘jantung’ bagi subjek Matematik di sekolah.

Saranan oleh Muhamad Ikhram Johari itu perlu diambil perhatian oleh ibu bapa khususnya selain memanfatkan pelbagai jenis platform pembelajaran digital dan buku-buku mengenai kaedah penguasaan sifir.

Ketika ramai ibu bapa mengeluh dengan silibus matapelajaran termasuk Matematik yang dirasakan sukar seawal Tahun Satu lagi, cuba rujuk Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR).

Dalam KSSR pun sudah digariskan penguasaan kemahiran asas sifir harus bermula pada Tahun Dua!

Bermain congkak dapat mengasah penguasaan kira kira murid sekolah rendah

Nah, suka atau tidak, memang ibu bapa perlu “membantu” kelancaran semasa guru mengajar nanti dengan memastikan anak masing-masing sudah menghafal sifir.

Murid juga tidaklah rasa bosan atau fobia untuk memahami Matematik sepanjang mereka di bangku sekolah rendah sehingga Darjah Enam memandangkan penyelesaian masalah lain dalam Matematik pada peringkat yang lebih tinggi tetap berkait dengan penguasaan sifir.

Tajuk-tajuk seperti pecahan, perpuluhan, wang, masa dan waktu, sukatan dan geometri, nisbah dan kadar, perkaitan dan algebra serta statistik juga kebarangkalian kesemuanya mempunyai hubungan dengan aplikasi fakta asas kira darab dan bahagi.

Soalan Matematik sekolah rendah

Sehubungan itu, Ikhram berpendapat permainan tradisional seperti congkak boleh dijadikan kaedah pengajaran Matematik sesuai dengan fitrah kanak-kanak yang suka bermain.

Mereka akan rasa lebih seronok untuk belajar menguasai sifir sambil bermain congkak yang boleh dikaitkan dengan sifir tujuh.

Kanak-kanak dapat mengasah kemahiran sifir tujuh semasa bermain congkak kerana setiap lubang congkak diisi dengan tujuh biji guli pada permulaan permainan ini.

“Guru juga boleh menunjukkan contoh konsep pendaraban untuk sifir yang lain dengan menggunakan congkak sebagai bahan bantu mengajar untuk menarik minat murid.

“Hal ini kerana congkak memiliki lubang yang sama besar serta boleh dijadikan sebagai bilangan kumpulan dan guli sebagai bilangan objek yang perlu diletakkan sama banyak pada setiap kumpulan,” kata Ikhram.

Beliau turut menurunkan 8 tips mudah untuk murid sekolah rendah menguasai sifir:

1. Faham mengenai fakta asas, darab adalah penambahan berulang.

2. Kerap buat petak sifir secara penambahan berulang.

3. Belajar pelbagai teknik sifir. (contohnya sifir sembilan menggunakan jari)

4. Mulakan menghafal sifir dua, tiga, empat, lima dan 10 terlebih dahulu.

5. Sambung pula untuk menghafal sifir enam, tujuh, lapan dan sembilan.

6. Tulis sifir dengan saiz angka yang besar dan tampal pada tempat yang senang dilihat.

7. Banyakkan latih tubi darab dan congak sifir.

8. Bersoal jawab soalan darab secara rawak bersama rakan atau ibu bapa.

Baca juga Pening nak fahamkan anak, guru pun harap pencipta silibus Matematik Tahun 1 masuk mengajar

Baca juga Culik bayi sebab comel, remaja perempuan ditahan