Covid-19: Malaysia rekod kes kematian, sembuh tertinggi

Oleh ARIF ATAN

Malaysia merekodkan kes kematian akibat jangkitan Covid-19 dan kes sembuh tertinggi hari ini.

Sebanyak 360 kes kematiaan dilapor setakat jam 12 tengah hari tadi dengan jumlah keseluruhan korban kini mencecah 10,749 kes iaitu 0.85 peratus.

Daripada 360 kes maut hari ini, 85 kes BID iaitu kes kematian di luar hospital dengan
56 warganegara manakala 29 lagi bukan warganegara.

Selangor kekal negeri paling banyak kes kematian harian direkodkan dengan 221 kes diikuti Kuala Lumpur (41), Melaka (20), Perak (17), Pulau Pinang (15) dan Johor 14 kes.

Kes kematian hari ini juga dilapor di Kedah (7), masing-masing enam kes di Negeri Sembilan dan Pahang, masing-masing lima kes di Sabah dan Terengganu, dua kes di Putrajaya, serta satu kes di Kelantan.

Dalam masa sama, terdapat 17,055 kes telah sembuh sekali gus menjadikan jumlah kumulatifnya bertambah sebanyak 1,026,398 kes iaitu 81.3 peratus.

Sementara itu, seramai 1,095 pesakit dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) termasuk 571 pesakit memerlukan alat bantuan pernafasan sebagai talian hayat.

Sepanjang tempoh 24 jam juga, berlaku pertambahan 18,688 kes baharu menjadikan jangkitan Covid-19 di seluruh negara kini berjumlah 1,262,540 kes.

Jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan di negara ini juga semakin melonjak dengan 225,393 kes.

Untuk rekod, sejak 3 Ogos lalu, kes aktif Covid-19 melebihi angka 200,000.