Malaysia Dateline

Covid-19: Sembilan maut setiap sejam di Malaysia sejak 1 Ogos

Situasi Covid-19 di Malaysia dilihat berada pada tahap membimbangkan dengan bilangan kes kematian harian melebihi 200 kes.

Hari ini, sebanyak 318 kes kematian dilapor menjadikan jumlah keseluruhan korban mencecah 11,691 kes iaitu 0.87 peratus.

Daripada 318 kes maut hari ini, 93 kes BID iaitu kes kematian di luar hospital melibatkan 57 warganegara manakala 36 lagi bukan warganegara.

Jumlah kes BID hari ini juga pecah rekod sebagai kes BID tertinggi pernah dilaporkan.

Semakan Malaysia Dateline mendapati sebanyak 2,667 pesakit Covid-19 meninggal dunia sejak 1 Ogos hingga hari ini.

Ini bermakna sepanjang tempoh 12 hari, secara purata berlaku sembilan kes kematian akibat Covid-19 setiap sejam di negara ini.

Sebagai perbandingan, kes kumulatif maut akibat Covid-19 sejak pandemik itu melanda awal tahun lepas hingga 25 Mei lalu berjumlah 2,369 kes.

Untuk hari ini, Selangor kekal negeri paling banyak kes kematian dengan 118 kes diikuti Johor (52), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (45), Sabah (28), Kedah (19) manakala masing-masing 10 kes di Pulau Pinang dan Melaka.

Sementara itu, sembilan kes pesakit Covid-19 meninggal dunia di Perak diikuti Pahang (8), Negeri Sembilan (7) serta masing-masing empat kes di Sarawak, Kelantan, dan Terengganu.

Dalam masa sama, terdapat 17,687 pesakit Covid-19 telah sembuh sekali gus menjadikan jumlah kumulatifnya bertambah sebanyak 1,093,503 kes iaitu 81.47 peratus.

Seramai 1,059 orang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) termasuk 543 pesakit memerlukan alat bantuan pernafasan sebagai talian hayat.

Sepanjang tempoh 24 jam juga, berlaku pertambahan 21,668 kes baharu sekaligus rekod tertinggi kes harian menjadikan jangkitan Covid-19 di seluruh negara berjumlah 1,342,215 kes.

Jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan di negara ini juga semakin melambung dengan 237,021 kes.

Sejak 3 Ogos lalu, Malaysia mencatatkan kes aktif Covid-19 melebihi angka 200,000 diikuti dua hari selepas itu, kes kumulatif kematian pula kemudiannya melepasi angka 10,000.