Malaysia Dateline

Cubalah berniaga dulu, penjual makanan kongsi realiti kos bahan mentah tinggi melangit

Cubalah buka gerai berniaga jika anggap penjual makanan mengambil untung terlalu besar. Itu antara nasihat peniaga makanan yang menegaskan realiti kos bahan mentah dan barangan yang tinggi melangit sekarang ini.

Reaksi peniaga di sebuah kumpulan Facebook Bukit Sentosa & Bukit Beruntung itu susulan perkongsian satu artikel pendapat lengkap dengan kiraan untung mencecah RM150 sehari jika menjual ayam goreng berempah.

Tulisan yang dikredit atas nama Dr Khairul Faizie itu antara lain mencadangkan seekor ayam mentah dipotong 14 bahagian.

“Katakanlah harga ayam naik sekalipun, kos beli seekor ayam letaklah RM20. Potong 14. Jual seketul RM4.50. Dapat kasar RM63, untuk seekor ayam.

“Tolak: Modal ayam seekor RM20. Modal minyak masak, rempah, dan lain-lain RM10 untuk setiap seekor ayam. Jumlah RM30.

“Jadi, untung bersih jual ayam goreng berempah: RM63 – RM30 = RM33 seekor.

“Tolaklah lagi RM3 untuk kos kos lain.

“Jadi, untuk setiap seekor ayam yang dijual sebagai ayam goreng berempah, dapat untung bersih RM30.

“Tiada kos sewa kedai, air, elektrik yang tinggi sebab bukak gerai tepi jalan.

“Kalau sehari berniaga bermula jam 11.30 pagi hingga 2 petang, dapat jual lima ekor ayam, maka untung ayam goreng berempah = RM150 sehari,” jelasnya.

Walau bagaimanapun rata-rata komentar terutama daripada golongan peniaga makanan menyatakan bukan semudah dan sebanyak itu keuntungan diperoleh ketika banyak harga barangan melambung mendadak sekarang.

Peniaga nasi ayam dengan nama di Facebook, Masel Biscuitteacher memberitahu seekor ayam seberat kira-kira 2 kg paling banyak pun boleh potong lapan.

“Kecil sangat (potong) pun tak sampai hati. Jual satu set nasi ayam RM6.50. Cubalah kira jual untung rugi.

“Orang kadang makan nak sedap tapi tang harga tak berkira sangat. Pakcik (penulis artikel itu) pulak lebih-lebih. Syukur sajalah masih boleh makan ayam, ‘kan,” sindirnya.

Sementara itu, Izzy Claire menegaskan terlalu kecil saiznya jika ayam dipotong 14 bahagian serta menganggap orang yang tidak pernah berniaga sembang memang senang.

“Dengan harga barang yang tinggi melangit macam sekarang, untung hanya 30 peratus. Itu pun kadang susah nak dapat sebab majoriti penduduk B40 dan M40.

“Cubalah niaga dulu, baru anda akan tahu sendiri,” cabarnya.

Penjelasan Izzy itu juga dikuatkan lagi dengan pendapat Jalwati Jamaludin yang berkata, jika ayam itu dipotong 10 bahagian pun, saiz ayam tidak dapat harga RM20 seekor seperti dalam kiraan tersebut.

“Beli makan sendiri ayam kecil saja pun dah RM19 hingga RM20. Macam mana boleh ada idea potong 14 dengan ayam seekor RM20 sekarang ni🥲,” ujarnya.

Keuntungan menjual ayam goreng berempah seperti dalam kiraan itu juga tidaklah sebesar yang dijangka memandangkan segala barangan naik menggila termasuk pembungkus makanan.

“Minyak, rempah dan bawang dikira RM10 saja? Minyak goreng kalau pakai dua pek dah berapa?

“Bawang lagi, halia lagi, serai segala lagi. Tak masuk pembungkus makanan dengan plastik yang naik juga harganya tak pernah nak menurun.

“Tak masuk lagi gas. Apalah kira macam tu? Pi meniaga dululah,” tempelak Siti Nabillah.

Peniaga makanan tidak mendapat untung besar lantaran segala bahan masakan naik harga melambung.

Hal sama juga dibangkitkan oleh Halim Bede yang mengingatkan bahawa untung bersih yang dikira itu belum tolak upah pekerja dan gaji tauke lagi.

“Jika rasa semua yang berniaga tu jual terlalu mahal, itu peluang besar untuk orang yang tiada pekerjaan masuk berniaga dan jual murah. Pasti laris macam pisang goreng😅

“Tapi realitinya tiada siapa pun yang tiada pekerjaan boleh buat sedemikian. Itu menunjukkan harga sedia ada itu memang dah berpatutan pun.

“Tiada siapa yang mampu untuk jual lebih murah,” kata Halim lagi.

Baca juga Ini baru kisah 1 Jun, entah apa jadi tiga, empat bulan lagi

Baca juga Tak tahan kedai selalu dipecah masuk, Yoe Parey tutup kedai dan tolong ayah jual budu