Malaysia Dateline

Dah balut parcel setebal bantal tapi masih pecah, bekas penghantar barang buka cerita sebenar

Chef selebriti, Khairul Aming meluahkan rasa tidak puas hati apabila ‘Sambal Nyet Berapi’ yang dijual dan dihantar menggunakan kurier J&T banyak yang pecah apabila sampai ke tangan pelanggan.

Pempengaruh media sosial ini berjaya mencapai jualan RM14 juta pada tahun pertama penjualan ‘Sambal Nyet Berapi’ malah beliau juga membuka kilang kedua tahun lepas di Kelantan.

Sebelum ini, J&T Express Malaysia pernah membuat permohonan maaf apabila tular video pekerjanya mogok dan melemparkan barangan di gudang.

Khairul luah rasa kecewa kerana ini bukanlah kes pertama bekas sambalnya pecah apabila dihantar kurier J&T, malah sudah terjadi banyak kali.

“Aku stress betullah J&T ni, rasa dah balut parcel bukan main tebal macam bantal dah. Tapi satu demi satu bungkusan pecah.

“Pos laju elok je uruskan parcel. Kalau ada isu pun memang mereka akan bertanggungjawab tapi dah berapa kali kes parcel pecah disebabkan J&T.

“Nak kena balut bungkusan dengan toto narita agaknya,” katanya menerusi akaun Twitter @khairulaming.

Seorang pengguna akaun Twitter yang juga pernah bekerja sebagai penghantar barang, Harizz Dudu (@harizz_izani) berkongsi barang selalunya dilempar sewaktu proses pengasingan barang di hub.

“Bang saya dulu kerja sebagai penghantar barang. Waktu pengasingan barang yang sampai di hub, mereka main baling-baling masuk barang dalam ‘cage’.

“Kalau nak tahu, boleh lihat waktu pagi mereka buat pengasingan barang,” tulisnya di ruangan komen.

Bagi bekas penghantar J&T, pengguna @haikalkhir mengaku selalu berlaku pergaduhan antara penghantar dan pekerja gudang sebab pelanggan akan menyalahkan orang terakhir yang menguruskan barang tersebut.

“Selaku bekas penghantar kurier J&T, saya boleh jamin J&T Ekspress memang parcel dari lori ke gudang tu dicampak.

“Tempat aku dulu yang kerja turunkan barang, kebanyakan adalah pakistani dan bangla. Sudah banyak kali ditegur tapi hanya buat tak endah sahaja.

“Akhirnya penghantar yang disalahkan sebab jadi orang terakhir uruskan parcel, sampai jadi punca bergaduh antara penghantar dengan pekerja gudang sebab barang banyak yang kena hempap, patah, rosak dan pecah,” komen Haikal Khir.

Ketika disoal kenapa tidak tukar sepenuhnya kepada Pos Laju, Khairul memaklumkan kurier dipilih secara automatik.

Baca juga: ‘Puzzle’ paling mahal, lelaki tawan puncak Gunung Kinabalu untuk lengkapkan gambar duit RM100