Malaysia Dateline

Dah biasa dengan Honda Jazz dan Toyota Hilux, anak malu pula naik kereta buruk – Ibubapa dinasihat ajar makna bersyukur

Satu rakaman video yang menunjukkan seorang kanak-kanak perempuan malu naik kereta usang mengundang teguran netizen agar ibu bapa mendidik anak tentang erti bersyukur.

Walaupun si ibu menerusi rakaman itu ketawa mendengar anaknya berkata malu naik kereta Proton Iswara, tetapi reaksi spontan tersebut, bagi kalangan warganet perlu serius ditangani.

Betullah pesan orang tua dahulu, melentur buluh biar dari rebung.

“Masa kecil nampak comel, boleh gelak-gelak. Bayangkan, tingkatan 1 buat perangai macam ni. Baru nampak hodohnya perangai.

“Kalau anak dah mula ada sikap macam ni, kena ajar dia erti kehilangan dan tidak ada apa-apa.

“Biar dia bersyukur dengan apa jua kenderaan yang dia naik. Kau tak tahu apa rasanya tidak memiliki sesuatu,” kata pengguna Facebook, Mohd Sallehuddin Zakri.

Nasihat sama juga disuarakan Wulan Azelia bahawa pentingnya ibu bapa kerap mengingatkan anak-anak mereka untuk tidak merungut sebaliknya bersyukur dengan apa dinikmati.

“Selalulah cakap dengan anak-anak kereta kita tak cantik. Bersyukurlah setidak-tidaknya masih boleh jalan-jalan, hujan tak basah, tak panas, tak berpeluh.

“Cuba tengok mak ayah yang bawa anak guna motor hujan-hujan basah semua. Jadi, dorang dah faham hidup tak boleh komplen sebab ada ramai lagi yang lagi susah kehidupannya dari kita.

Memetik laporan Mstar, ibu kanak-kanak berusia tujuh tahun itu mengakui anaknya memang tak biasa naik kereta lama.

“Kereta tu memang nampak usang sikit. Jadi boleh faham kenapa dia tak suka sebab itulah saya ketawa bila dia cakap macam tu.

“Selalunya dia naik kereta saya atau kereta papa dia. Saya guna kereta Honda Jazz dan suami pakai Toyota Hilux,” kata wanita itu.

Baca juga Dua penunggang tergolek, berlanggar sama sendiri gara-gara sibuk berborak atas motor

Baca juga Guna wang simpanan sebanyak RM1,000 untuk bina bangsal terapung, cuba selamatkan barangan rumah sebab banjir setiap tahun