Malaysia Dateline

Dana awam tidak wajar biaya rumah terbuka kementerian, agensi

Adalah tidak wajar berbelanja ratusan ribu (bahkan mungkin mencecah jutaan) dari dana awam bagi membiayai Rumah Terbuka Kementerian/agensi hanya untuk dihadiri sesama warga kerja kementerian yang berjiranan pula.

Peruntukan ratusan ribu (jika tidak pun jutaan) dari sumber dana awam hanya untuk acara raya (apa jua perayaan) bukan hanya satu bentuk pembaziran, malah merupakan pemesongan daripada tujuan peruntukan kementerian/agensi yang dimaksudkan.

Sekiranya satu kementerian berbelanja lima ratus ribu saja sekali pun, jika semua kementerian bermewah mengadakan ‘pejabat terbuka’, di situ saja mencecah 16 juta ringgit.

Jumlah itu tidak termasuk ratusan agensi yang beroperasi di bawah kementerian yang ada, maka tidaklah mustahil mencecah RM30 juta setahun hanya untuk mengisi perut yang sudah sedia bergaji serta datang pula ke acara dengan perut yang sedia membuntat.

Suasana ‘Pejabat Terbuka’ Aidilfitri Kementerian Pertanian & Industri Asas Tani di Putrajaya pada tahun 2019.

Mengurus acara sambutan perayaan keagamaan, malah lebih buruk lagi, hanya untuk perayaan tertentu sahaja, adalah pemesongan tugas hakiki kementerian atau agensi yang meladeni khalayak rakyat pelbagai kaum dan agama.

Lebih-lebih lagi dalam keadaan ekonomi yang sukar dan ramai pula marhaen yang kini berdepan kesempitan hidup, jelas sekali kelewahan dan kemewahan, jika berlaku, adalah satu bentuk ketidak-cekapan yang sangat mencolok dan tidak murni.

Kerancuan ini sewajarnya ditangani oleh pemimpin tertinggi negara, KSN, KSP, KPPA dan seluruh KSU yang diamanahkan dalam penyaluran dana awam. Jabatan Audit Negara wajar mengeluarkan teguran yang berkaitan dan tidak terlibat sama menganjurkan ‘pejabat terbuka’.

‘Rumah terbuka’ bukanlah ‘pejabat terbuka’.

Lebih buruk lagi apabila dipertimbangkan bagaimana sekian banyak masa dan tenaga diperuntukkan hanya bagi tujuan menjayakan legasi keraian gaya hidup yang nyatanya tidak sihat – sekali gus, langsung menyanggah kempen gaya hidup murni yang dilaung-laungkan oleh pemimpin negara.

Pesan dan kritik ini konsisten saya utarakan saban tahun menjelang pembukaan penuh semula sektor awam pasca bercuti panjang Aidilfitri.

Tentulah sekiranya tidak melibatkan dana awam maka renungan kita akan berbeza terhadap isu ini.

Namun, itu pun masih tidak mewajarkan kita bermewah sekiranya terdapat keperluan yang lebih utama untuk sebarang bentuk penyaluran dana daripada mana-mana pihak.

Tentu saja ada yang berpandangan bahawa hilanglah seri hari raya tanpa rumah terbuka kementerian. Apabila kita terbiasa dengan perkara yang salah, maka yang benar akan terhijab daripada pandangan hati. Meneruskan satu kerancuan semata-mata kerana ianya telah membudaya adalah penyimpangan daripada amanah yang dipikul.

Kita memerlukan pemimpin dengan mata hati yang tajam untuk benar-benar merasakan ‘denyut dan nadi’ rakyat – satu frasa ungkapan yang murah dijual setiap kali perhimpunan agung semua parti namun terlalu mahal harganya seandainya benar-benar dihayati.

Baca Elak sesak di lebuh raya selepas cuti Aidilfitri, ini tips bila waktu sesuai mulakan perjalanan