Malaysia Dateline

DAP bincang pelan tindakan hadapi PRU15, sasar aktifkan seluruh jentera pilihan raya sebelum Ogos

Barisan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP bersama semua Ahli Parlimen DAP hari ini selesai mengadakan pemukiman untuk membincangkan hala tuju dan pelan tindakan parti sebagai persiapan menuju Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, satu sesi analisa berkenaan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor telah dibentangkan kepada semua pimpinan yang hadir untuk memahami pola pengundian di setiap kerusi yang ditandingi calon DAP dan kesan pola tersebut dalam PRU-15 nanti.

Justeru itu katanya, seluruh jentera pilihan raya DAP akan dipastikan untuk berada dalam ‘mood’ bersiap siaga sebagai persiapan menuju PRU-15.

“Kami menerima hakikat terhadap penurunan peratusan sokongan yang ketara kepada Pakatan Harapan walaupun DAP berjaya mempertahankan 10 kerusi namun dengan peratusan undi yang lebih rendah.

“Berdasarkan kepada pola pengundian di Johor, pemukiman hari ini akan membincang dan menetapkan pelan tindakan yang khusus untuk 4 bulan akan datang.

“DAP menetapkan sasaran bahawa seluruh jentera pilihan raya DAP mesti bersiap siaga menjelang Ogos 2022,” katanya semasa berucap di pemukiman yang berlangsung di Subang Jaya hari ini.

Mungkin imej 5 orang, orang duduk, orang berdiri dan dalam

RUU Anti Lompat Parti syarat utama sebelum PRU

Sementara itu Anthony berkata, kepimpinan DAP juga sedar bahawa salah satu syarat utama sebelum PRU diadakan ialah penggubalan Akta Anti Lompat Parti untuk mengembalikan keyakinan pengundi terhadap sistem pilihan raya dalam negara..

Menurutnya, seluruh parti akan memberi sokongan padu kepada Gobind Singh Deo bagi mewakili pendirian DAP dalam Jawatankuasa Pilihan Khas yang ditubuhkan oleh Parlimen semalam untuk memastikan agenda meluluskan RUU berkenaan terlaksana sebelum akhir Mei depan.

“Objektif utama pemukiman hari ini ialah untuk mencetus semula harapan dan keyakinan kepada semua pemimpin DAP untuk memimpin ahli-ahli akar umbi kita untuk berjuang habis-habisan dan memenangi sokongan rakyat dalam PRU15,” katanya lagi.

Baca juga: Pelajar bengang duit ePemula RM150 di ShopeePay jadi ‘hiasan’ tak boleh beli ‘online’

Baca juga: Chubb-E kecewa adegan wanita separuh bogel dibuang daripada sedutan video muzik