Malaysia Dateline

DAP tidak pernah tukar ‘khemah’, perbincangan pimpinan tertinggi tradisi PH

Setiausaha Agung DAP yang baharu, Anthony Loke berkata, parti komponen Pakatan Harapan (PH) itu tidak pernah tukar khemah merujuk pada pendekatan pembangkang bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Bekas Menteri Pengangkutan tersebut berkata usaha memperkukuhkan pendekatan blok pembangkang itu sentiasa dilakukan menuju PRU-15.

“DAP tak pernah tukar khemah. Kita sentiasa berusaha untuk memperkukuhkan khemah yang dibina dan dimiliki bersama ini,” tegasnya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Beliau berkata demikian susulan pertemuannya dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden AMANAH, Mohamad Sabu di pejabat Anwar di Bukit Gasing petang tadi.

“Perbincangan di kalangan pimpinan tertinggi merupakan tradisi dalam Pakatan Harapan sejak dulu lagi.

“Dulu, Sdr Guan Eng yang hadir. Kini, saya pula mewakili pimpinan DAP,” kata Anthony lagi yang dilantik sebagai Setiausaha Agung DAP dalam sesi pemilihan Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) parti itu, bulan lalu.

Minggu lalu, beliau yang juga Ahli Parlimen Seremban menegaskan bahawa PH perlu pastikan khemah itu stabil, walau apa pun saiznya bukannya taksub dengan pendekatan “khemah besar”.

Menurutnya lagi, PH perlu menumpukan kepada usaha untuk mengukuhkan hubungan antara ahli komponen iaitu PKR, DAP dan AMANAH supaya boleh menjadi satu kuasa yang kuat.

Untuk rekod, PRU-15 dijangka akan diadakan dalam tempoh tahun ini atau awal tahun depan.

Baca Kena faham, konsep Khemah Besar untuk satukan parti pembangkang, bukan kerjasama dengan kerajaan