Cerita tentang sebuah keinginan yang tertunda. Dua tahun selepas perkahwinan, kami suami isteri buat keputusan yang agak besar dan akan mengikat komitmen bulanan kami iaitu ‘membeli rumah’.
Awalnya kami menyewa di sebuah apartment (650 kaki persegi) dengan bayaran RM900 sebulan. Harga agak tinggi kerana kawasan yang mendapat permintaan ramai terutamanya pelajar Universiti Malaya (UM).
Namun, masuk bulan ke-12 pemilik mahu naikkan sewa kepada RM1,000 sebulan. Bermula dari situ, kami pasang hasrat untuk membeli sebuah rumah.
Waktu itu, kami berperang dengan perasaan sama ada untuk terus membeli rumah teres atas memilih apartment. Apartment selalunya bertingkat dan agak kecil manakala rumah teres pula di atas tanah dan besar.
Malangnya, harga pasaran di tempat berkenaan sangat tinggi untuk sebuah rumah teres dan di luar kemampuan. Mana mungkin mahu mengikat komitmen yang agak tinggi.
Namun, kerana mahu tinggal di kawasan berkenaan bagi memudahkan Puan Azlina ke tempat kerja, kami bersetuju mencari sebuah apartment kos sederhana.
Setelah mendapat pandangan, membuat rujukan nasihat kewangan di internet dan meninjau beberapa buat apartment, kami akhirnya memilih untuk membeli sebuah kediaman sebuah apartment. Luasnya 750 kaki persegi di Jalan Klang Lama.
Harganya RM110,000 dengan bayaran bulanan RM800++. Sesuailah untuk kami dari segi keluasan dan lokasi yang agak strategik. Lagipun, kami hanya berdua waktu itu. Aidil dan Anggun belum lahir lagi.
Jadi, kami abaikan dulu hasrat untuk memiliki sebuah rumah yang teres bertingkat dan kami diami apartment ini 10 tahun lamanya.
Selepas berpindah keluar tahun lepas, akhirnya hari ini kami akan kosongkan untuk disewa. Tiada niat untuk jual apartment ini. Aset pertama, sayang wooo…
Kami belajar satu perkara tentang kewangan apabila berpindah keluar apartmen. Jika dulu kami terus beli rumah teres yang mahal, mungkin agak sukar untuk membeli rumah yang seterusnya kerana komitmen sedia ada yang tinggi.
Alhamdulillah, Allah permudahkan urusan keluarga kecil kami. Mujur juga belajar sedikit tips kewangan dari internet. Keinginan yang tertangguh memudahkan kami merancang.
Aih, rindu pula dengan kehidupan di apartmen Jalan Klang Lama ini. Banyak kenangan yang tercipta di sini. Teringatkan rakan-rakan jiran yang baik dan mesra. Kemeriahan Ramadan juga masih terbayang-bayang. Meriah sangat. Mutiara tetap di hati.
Baca juga Tak tahu urus kewangan sendiri, semak 7 perkara ini dahulu untuk nikmati lebihan gaji
Baca juga Wanita sebak lihat budak darjah 6 ponteng sekolah sebab nak bantu keluarga