Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia (DBP) melalui facebook rasminya membuatkan warganet terhibur dan sempat berpantun perihal katak.
Ini susulan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 mengenai peruntukan larangan ahli Dewan Rakyat lompat parti diluluskan semalam.
Difahamkan pentadbir DBP sering berkongsi peribahasa, bidalan atau perumpanaan berkenaan isu yang berlaku di dalam negara.
Terkini, DBP berkongsi satu poster yang memaparkan seekor katak yang cukup comel bermata merah dengan peribahasa ‘Takkan ada katak beranakkan ular’ yang bermaksud ‘orang yang pengecut takkan jadi orang yang berani’.
Perkongsian itu membuatkan netizen memuji DBP yang cakna dengan isu semasa, yang mencuit hati ramai pula dalam kalangan mereka meninggalkan pantun.
“Mantap DBP peka dengan isu semasa,” komen Akhbar Subahir.
Hamimi Binti Hishamuddin meninggalkan pantun yang berbunyi
Naik muak kisah yang tular,
Tergamak dedahkan aib sendiri,
Tiadanya katak beranakkan ular,
Pengecut takkan beranikan diri.
Zaiman Ngah Talib;
Buah kuini rasanya tawar,
kera tertambat di hujung kampung;
katak tak berani hendak keluar,
lebih selamat di bawah tempurung.
Seribani Hashim;
Di atas tambak kaduk menjalar,
Naik ke junjung sirih ditolak;
Bermimpi katak menjadi ular,
Bawah tempurung nyanyi melalak.
Ahmy Razi Kamaruddin:
Kail ikan sepat,
Dapat anak betuk,
katak kuat melompat,
Ular suka mematuk.
Tidak kurang juga ada yang menyifatkan DBP melawak dan menghiburkan.
“Hahaha sentiasa ada hiburan dari dbp, ingat epl nak start blk, siap sedia la dgn Pantun2.. Klu x saya akn tel terus… Mcm last year,”komen Thana Thana.
“Laju min. RUU dah lulus. Hehe,” komen MarZuki Salleh.
Semalam, Pindaan RUU Anti Lompat Parti itu diluluskan dengan undi majoriti dua pertiga ahli Dewan iaitu 209 ahli Parlimen bersetuju dan 11 ahli Parlimen tidak hadir menerusi undi belah bahagian di Dewan Rakyat hari ini.
Ianya sekali gus melakar sejarah apabila hampir majoriti menyokong pindaan terbabit yang pertama kali dibacakan pada 11 April lalu tetapi dibawa ke Jawatankuasa Pilihan Khas Bagi Menimbang RUU tersebut susulan tafsiran Perlembagaan.
Baca juga: RUU anti lompat parti diluluskan, kegembiraan terserlah di kem PH
Baca juga: Bomba berjaya keluarkan bayi terperangkap dalam kereta hampir sejam