Malaysia Dateline

Demam Mat Kilau: Ramai tampil bagi ‘review’ yang ini lebih menarik, tidak bias

Sejak ditayangkan minggu lepas demam Mat Kilau masih tidak kebah apatah lagi ramai yang memberi pandangan dan ‘review’ tentang filem epik ini. Pelbagai pandangan dan pendapat yang diberikan terhadap filem ini, namun ada satu review yang menarik untuk diamati dan ianya dikatakan tidak bias.

Penangan Mat Kilau sangat luar biasa apabila ramai yang mula menunjukkan aksi silat dengan berpakaian pahlawan bertanjak seperti bangsawan Melayu dahulu kala di aplikasi Tik Tok dan media sosial yang lain.

Seorang penulis novel sejarah Shamsiah Fakeh: Pejuang, Pemimpin dan Perempuan yang dikenali sebagai Azzah Abdul Rahman telah menonton Mat Kilau versi Syamsul Yusof dan ramai yang mengatakan pandangan beliau sangat menarik dan seronok dibaca.

Ikuti pendapat beliau tentang filem epik Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan yang kini sudah mengutip RM12 juta sejak ditayangkan pada 26 Jun lalu.

Filem Mat Kilau versi Syamsul Yusof sudah saya perhatikan sejak fotografer The Hitman Nazri berkongsi di Instagram, klip video dan foto-foto pegun di sebalik tabir pembikinannya, sekitar 2019. Saya ingat, salah satu foto menunjukkan para pelakon berbaju Melayu dan seragam silat menyerang musuh menggunakan senapang. Walaupun saya bukan peminat Syamsul Yusof – hanya pernah tonton KL Gangster dan KL Special Force – tetapi mendapat tahu sebuah karya sejarah Melayu sedang ditangani oleh beliau – pengarah komersial dan box office – ada babak Melayu purba pegang senapang pula, amat mengujakan!

Sejak pertama kali saya tonton drama sejarah (sageuk) Korea, saya jatuh minat dan berasa takjub pada keupayaan, perincian dan kesungguhan mereka. Drama sageuk pertama saya tonton ialah The Royal Gambler: kisah putera kepada Raja Sukjong (1661-1720) dengan Gundik Diraja Choi Sukbin (1670-1718), yang dalam catatan sejarah dilaporkan mati selepas dilahirkan. Seterusnya, Six Flying Dragons: sejarah penting Korea iaitu kejatuhan Goryeo dan penubuhan Joseon (1392), dan pertembungan antara Yi Bang Won (1367-1422) (kemudiannya Raja Taejong, bapa Raja Sejong yang Agung) dengan Jeong Do Jeon a.k.a Sambong (1342-1398), antara pengasas dan pensyarah Sungkyunkwan, akademi diraja Confucian. Drama sejarah terkini yang saya tonton ialah The Red Sleeve dengan latar cerita cinta agung Raja Jeongjo (1752-1800) (anakanda kepada Putera Mahkota Sado (1735-1762)) dengan Gundik Diraja Seong Uibin (1753-1786). Ketiga-tiga karya ini berlatarkan sejarah dan tokoh nyata, dengan jalan cerita bercampur fiksyen.

Setiap kali menonton KDrama sageuk, saya berfikir: bilalah agaknya pengkarya Melayu akan bikin filem/drama sejarah berskala besar pula? Selepas Puteri Gunung Ledang dan Merong Mahawangsa, krik-krik sahaja. Pasir Salak? Hasrat Almarhum Tan Sri Jins Shamsuddin terkubur bersama jasadnya, walaupun beratus ribu perbelanjaan telah dikeluarkan.

Teringat Almarhum Pak Yusof Gajah kata, “Kita di Malaysia perlukan orang kaya yang ‘gila’, barulah boleh buat projek kreatif secara besar-besaran macam Nami Island.”

Lalu pada 2022, akhirnya, “orang kaya yang gila” muncul membawa panji-panji Studio Kembara, bersama “pengarah gila” dan barisan bintang berkilau di bawahnya.

Demam Mat Kilau: Ramai tampil bagi 'review' yang ini lebih menarik, tidak bias
Filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan

Baik. Ini yang otak saya catatkan secara rawak selepas menonton filem Mat Kilau:

(1) Semalam, hari Isnin, saya menonton Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan pada jam 10.45 pagi – tayangan pertama. Panggung 90% penuh. Dan hampir separuh daripada penonton, tidak pernah saya lihat dalam mana-mana panggung wayang sebelum ini. Pasangan warga emas, pak cik mak cik dan golongan yang nampak gaya seperti tidak pernah masuk panggung wayang. Ya, geram juga. Ketika Inggeris sibuk mencari Mamat, mereka pula heboh mencari tempat duduk dalam gelap. Tapi Tok Gajah suruh sabar. Maka kita sabar. Bak kata Wahid, “Tiada guna mencemari lidahku untuk mencercamu.”

(2) Seperti yang dikatakan oleh para pembeli tiket berjumlah RM12.2 juta selama 4 hari sebelumnya, filem Mat Kilau sarat dengan sindiran kepada Melayu, bertubi-tubi dilantunkan oleh watak-watak Melayu dan juga British. Ini saya tidak perlu ulas lagi. Tahniah kepada yang tercelik, mengangguk-angguk dan bergenang air mata apabila tersindir. Jelas, anda Melayu yang menyayangi Melayu.

Yang saya puas hati, akhirnya ada pun filem sejarah Tanah Melayu yang penjajah Inggeris ditonjolkan sebagai syaitan.

Filem sejarah perjuangan kemerdekaan sebelum ini – contohnya, 1957: Hati Malaya – tidak cukup rasa terseksanya hidup dalam jajahan Inggeris. Pejuangnya golongan elit yang bergraduasi dari London. Era itu pun, penjajahan Inggeris kali kedua. Mereka datang sebagai “penyelamat”, tampak lebih “sahabat”. Padahal.

Embun dan Leftenan Adnan menunjukkan penderitaan orang Melayu di bawah jajahan Jepun. Bukit Kepong pula dengan komunis. Jadinya, bagi kita, yang kejam hanyalah musuh yang menyeksa fizikal. Musuh yang menyerang pemikiran, budaya, bahasa, manuskrip, menjarah hasil bumi sehingga selepas “merdeka”, tidak dianggap kejam.
(Boleh jadi itu sebabnya orang Melayu sangat suka London.)
Walhal kerosakan daripada serangan pemikiran itu jauh lebih besar.

(3) Tentang watak dan lakonan, pun sudah ramai yang perkatakan. Saya setuju pada semua watak yang diberikan: Adi Putra x Mat Kilau, Beto x Wahid (amatlah tepat), Fattah Amin x Awang, malah Khir Rahman x Usup. Aktor para pembesar, lebih lagi. Para veteran yang seolah-olah wajib ada dan berwatak pembesar dalam mana-mana filem sejarah. (Dan tergembira pula melihat Sarjan Misai dan Detektif Lim era 1890-an, walaupun mereka jauh daripada sahabat.)

Cuma:
(3.1) Perut Rokiah pelik sangat. Saya bersangka baik, mungkin anak kembar.
(3.2) Tak tahu kenapa Johan Asaari x Yasin kelihatan comel-comel. Memang dibuat wataknya begitu, agaknya, sebab dia pangkat adik kepada yang lain.
(3.3) Ali Karimi x Berahim tona suaranya sedap tapi kurang pahlawan. Apabila dia bercakap, saya terasa moden.
(3.4) Geoff Andre Feyaerts @ Fuad x Kapten Syers ini saya agak bermasalah kerana dia pegawai British tetapi bercakap bahasa Inggeris bunyi macam orang Eropah. Setelah disiasat, rupa-rupanya beliau asal Belgium. Ah, patutlah. Tapi lakonannya menjadi. Saya rasa nak tendang kerusi depan. Mujur ada orang.
(3.5) Saya rasa sungguh kasihan kepada pelakon-pelakon tambahan yang dibelasah oleh Toga. Hahaha. Apapun, bak kata Ali Karimi, ditendang oleh Kang Yayan sahaja pun sudah cukup membanggakan.
(3.6) Omar, anak Mat Kilau, dalam filem ini saya fikir usianya mungkin 9 ke 10 tahun. Tetapi dialognya menunjukkan dia baru mahu belajar silat. Saya tidak arif tentang silat untuk kanak-kanak, umur berapa yang sesuai diajar. Ada juga saya terbaca, Mat Kilau mula dihantar belajar agama dan silat pada usia 12 tahun.

Hanya, saya teringatkan watak Gündüz, anak Ertuğrul dalam siri Diriliş: Ertuğrul. Sejak usia 2-3 tahun sudah dipakaikan seragam alp, usia 5-6 sudah diberikan pedang dan kuda kayu, usia 7 mungkin, sudah mula latihan pertahanan diri – sama dengan usia pendidikan solat disyorkan kepada kanak-kanak. Karakter Osman (pengasas Empayar Uthmaniyyah), anak ketiga Ertuğrul pula, semasa lebih kurang sebaya dengan Omar versi filem Mat Kilau, sudah pergi berburu di hutan dan melawan penculik. Gündüz dan Osman, anak pahlawan Kayı digambarkan sangat berani sejak kecil lagi.

Jadi, saya berfikir, alangkah baiknya jika ditunjukkan Omar sudah pun menyarung pakaian silat, dan ada sedikit babak kanak-kanak Melayu belajar silat. Boleh jadi babak yang menunjukkan musuh gerun kepada Melayu.

(3.7) Ada yang mengatakan askar-askar Sikh yang bekerja dengan Inggeris itu tak rupa askar. Di pihak Inggeris, Toga seorang sahaja yang menggerunkan.
Begini. Setiap bangsa yang menghasilkan karya untuk membakar semangat jati diri bangsa, tentu akan menaikkan kehebatan bangsa sendiri dan menunjukkan bangsa lawan selemah yang boleh. Dalam Ertuğrul, misalnya. Para alp (askar) puak Kayı (bangsa Türki) digambarkan bukan main hebat, tegap, gagah, menggerunkan. Tetapi, kesateria Templar boroi gebu belaka, tentera Mongol pula kurus-kurus macam tak cukup zat dan alahai mudah betul matinya. Jadi, ini biasa.
(3.8 – tercicir) Alangkah lebih baik jika Rokiah memahami suaminya dan Wahid memahami isterinya. Ini sebenarnya secara peribadi saya tidak suka karakter isteri lemah dan suami patriarki. Apapun, mungkin juga ada sebabnya Syamsul buat pasangan ini begini, berbeza daripada sikap pasangan Mat Kilau-Yang Chik.

(3.9 – tercicir lagi) Sayang tiada OST khas untuk filem ini. OST memainkan peranan penting untuk penonton terkenang-kenangkan filem/drama. Budak-budak TikTok terpaksa guna lagu Mentera Semerah Padi untuk MatKilauChallenge. Moga Studio Kembara pertimbangkan bajet untuk OST bagi filem sejarah seterusnya.

(4) Kesilapan pun sudah banyak ditegur. Kata “korang” dan “emosi” memang salah, tetapi tidaklah hingga buruk seluruh filem. Jenis keris juga.
Saya ingin berkongsi tentang KDrama sageuk, dan sebagai peringatan kepada produksi yang mahu bikin filem/drama sejarah selepas kebangkitan ini.
Drama dan filem sejarah Korea diberikan lesen kreatif oleh Korea Creative Content Agency (KOCCA). Ini supaya sejarah mereka kekal terjaga, walaupun dicampur dengan fiksyen.
Pihak produksi jadi begitu perinci dalam menghasilkan karya fiksyen sejarah. Segala sesuatu – pakaian, perhiasan, aksesori, mekap, makanan, pinggan mangkuk, senjata, buku, kertas, alat tulis dan lukis, perabot – semuanya, dipastikan tepat mengikut era.
Apa berlaku jika ada yang tidak teliti?

Joseon Exorcist, fiksyen sejarah berlatar era Joseon, sudah menjalani penggambaran sehingga episod ke-14. Dua episod pertama disiarkan di saluran SBS, lalu mengundang kemarahan besar rakyat Korea Selatan. Mengapa?

1.Memberi gambaran salah dan buruk tentang Raja Taejong dan Raja Sejong yang Agung.

2.Menggunakan prop China iaitu kuih bulan, walaupun produksi menjelaskan babak itu berlaku di sempadan Joseon-Ming (China).

Joseon Exorcist telah memburukkan imej raja paling disanjung oleh bangsa Korea. Membuak-buak kemarahan rakyat kerana raja kesayangan mereka difitnah. Semua penaja menarik balik penajaan, siarannya ditamatkan serta-merta, penggambaran tidak dapat diselesaikan, dan para pelakon – entahlah dapat bayaran seperti dijanjikan ataupun tidak.

Ini pelajaran penting bagi penulis fiksyen sejarah. Apabila melibatkan tokoh nyata, boleh tambah babak dan watak fiksyen. Malah ada babak boleh diolah ikut kesesuaian cerita. Asalkan tidak jatuh fitnah, yakni tidak memburukkan tokoh nyata yang terlibat. Walaupun keburukan itu benar-benar ada.

Saya pernah menyunting sebuah manuskrip berlatarkan sejarah, kisah benar, tetapi individu yang menulis kisah dirinya itu dengan bangga menceritakan dia adalah Muslim yang tidak solat, mabuk-mabuk dan kaki perempuan. Saya maklumkan kepada penerbit, saya buang seluruh babak yang menceritakan aib dirinya itu. Menulis karya sejarah, diri sendiri pun janganlah kau aibkan, apatah lagi orang lain.

Berbeza nasib dengan KDrama Snowdrop terbitan JTBC. Latar sejarah June Democratic Uprising (1987), mencetuskan bantahan kerana dikatakan cuba mengubah sejarah, meromantisasikan perisik Korea Utara. Rakyat Korea Selatan membuat petisyen kepada Blue House (pejabat Presiden) untuk menghalang drama ini daripada disiarkan.

Bagaimanapun, walaupun ada lebih 200 ribu tanda tangan pada petisyen berkenaan, Blue House memutuskan untuk tidak menghalang penerbitan Snowdrop kerana mendapati tidak ada unsur yang merosakkan sejarah bangsa mereka dan memang drama itu fiksyen walaupun berlatarkan sejarah sebenar. Malah selepas disiarkan, JTBC pula mengambil tindakan undang-undang kepada warga maya yang memfitnah Snowdrop.

Saya percaya Syamsul Yusof pun tidaklah bodoh untuk membiarkan kesilapan sama diulang pada karya sejarah akan datang (jika ada).

Dan untuk mengatakan filem Mat Kilau tidak boleh dimaafkan, layak diejek-ejek disebabkan kesilapan-kesilapan ini, saya syorkan amatilah situasi tanah air dan bangsa ini dengan sudut pandang dari udara. Kita bukannya Korea Selatan yang sudah kaya dan kukuh dengan karya sejarah. Kita masih miskin karya sejarah generasi baru, dan Mat Kilau baru sahaja memulakannya. Kita bukan Korea Selatan yang kerajaan beri dana sebesar-besarnya kepada industri kreatif sehingga mampu menguasai Netflix, menang Oscar, masuk Grammy’s. Dana dan upaya FINAS masih terhad.

Kesimpulan.
Filem, drama dan novel memang tidak boleh seratus peratus dijadikan rujukan sejarah. Karya-karya kreatif ini bertugas sebagai pencetus minat penonton/pembaca untuk mengetahui sejarah sebenar (mengikut pada penulis sejarah berkenaan). Kami peminat drama sageuk kerap meng-Google dan membaca catatan sejarah berkaitan kerana rasa ingin tahu yang membuak-buak. Sekarang, selepas puluhan sageuk telah ditonton, rasanya jika ambil peperiksaan sejarah Joseon, kami boleh lulus cemerlang. Ada yang menyindir kami suka sangat Korea – makan nak Korea, pakai nak hanbok, dengar nak KPop: ya, itu semua kerana terpengaruh selepas menonton budaya Korea.

Itu juga yang berlaku pada penonton muda filem Mat Kilau. Ramai yang Google dan baca tentang Mat Kilau selepas keluar dari panggung. Video kemunculan menggemparkan Mat Kilau pada 1969 kembali disiarkan. Budak-budak sekarang mahu belajar silat kerana silat dipaparkan sungguh cool dalam filem ini. Tagar MatKilau dan MatKilauChallenge sudah dapat berpuluh juta tontonan di TikTok.

Ini baru Mat Kilau. Bayangkan selepas ini jika filem Pasir Salak diberi CPR, Tun Perak, Hang Nadim, kehebatan Melayu memproduksi besi di Sungai Batu semuanya dihidupkan kembali di layar perak. Bayangkan selepas karya sejarah mewah di Malaysia, setara Korea Selatan.

Ramai meminta 1511 difilemkan. Saya pun mahu juga. Cuma, menceritakan kekalahan bangsa ini, seperti Bukit Kepong, perlu sangat hati-hati. Karya sejarah penting demi membangkitkan semangat nasionalisme, perlu berapi-api. Kita tidak mahu keluar panggung dengan dendam dan sedih semata-mata, tetapi tidak tahu apa yang perlu dilakukan seterusnya. Kita mahu keluar dengan rasa berkobar-kobar mahu membaiki diri, bangsa dan negara.

Sememangnya saya tidak pernah beri bintang kepada drama/filem yang saya ulas. Saya bukan pengkritik malah tiada ilmu formal dalam mengkritik. Mengulas dari sudut pandang diri sendiri, daripada apa yang saya fikir.
Filem Mat Kilau, ya, pergilah tonton. Jika pun menyampah pada karya komersial, karya pop, pergilah untuk tengok Mat Kilau.

Bagi bangsa Melayu, buat masa sekarang, di tanah ini, dalam keadaan lemah jati diri, pemimpin tidak berfungsi, geli guna bahasa sendiri, rimas beragama, dan bagi kita yang masih sangat rebung dalam penghasilan karya sejarah, “ada” lebih utama berbanding “tepat”.

Apakah kezaliman fizikal Inggeris kepada Melayu dalam filem Mat Kilau itu benar-benar menunjukkan “kezaliman fizikal”?

Apakah kata-kata pedih Kapten Syers kepada Mat Kilau dan kawan-kawan tentang sikap Melayu itu, sekadar “kata-kata”?

Apakah Awang sekadar kawan yang iri kepada kawan baik sendiri?
Iqra’.

“Orang Melayu mulia bukan kerana adat, kesultanan atau budaya. Tapi mulia kerana akidah dan keimanan kepada Allah.” – Mat Kilau.

Baca juga: Dr Afif perlu lebih jujur untuk akui siapa sebenarnya bergantung pada kleptokrat

Baca juga: PDRM buka kertas siasatan sebab orang ramai mengadu dapat mi segera perisa babi lepas derma darah