Malaysia Dateline

Dr Afif perlu lebih jujur untuk akui siapa sebenarnya bergantung pada kleptokrat

Kenyataan Timbalan Pengerusi Biro Penerangan PPBM YB Dr Afif Bahardin hari ini seperti disiarkan Sinar Harian yang mendesak Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjelaskan tentang pendedahan oleh Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkenaan akuan bersumpah (SD) yang ditandatangani oleh Ahli Parlimen kluster mahkamah adalah satu tindakan terdesak untuk menutup kesilapan tentang kecurangan Langkah Sheraton yang merupakan satu pengkhianatan mandat rakyat dan sistem demokrasi.

Isu sokongan SD tersebut umpama satu mimpi kerana sehingga sekarang Anwar Ibrahim tidak pun menjadi Perdana Menteri (PM). Oleh itu, sokongan tersebut tidak boleh disahkan sejauh mana keabsahan sokongan tersebut diberikan.

Namun, yang pastinya secara realiti, pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai PM kelapan ketika berlakunya Langkah Sheraton dengan Presiden PPBM jelas berpakat dengan Datuk Seri Zahid Hamidi yang disokong Datuk Seri Najib Razak.

Dr Afif juga jangan lupa bahawa ketika Datuk Seri Ismail Sabri menjadi PM kesembilan, beliau turut disokong Zahid Hamidi dan Najib Razak.

Jelas, Muhyiddin dan Ismail Sabri menjadi PM dengan sokongan kluster mahkamah. Dalam erti kata lain, kluster mahkamah tidak memberi sokongan kepada Anwar Ibrahim dan PH.

Ironinya, kedua-dua PM ini disokong Dr Afif dengan PPBM adalah parti bersekutu dalam kedua-dua kerajaan. Justeru, Dr Afif perlu lebih jujur untuk akui siapakah sebenarnya yang bergantung kepada kleptokrasi.

Adalah sangat meleset untuk mendakwa PH hipokrit berkenaan isu ini kerana PH telah menegaskan daripada awal bahawa PH tidak akan berkompromi dalam isu keadilan dan keluhuran undang-undang. Ini bermaksud, PH tidak akan menerima sokongan kluster mahkamah.

Kerajaan hari ini bergantung kepada kluster mahkamah sebagai king maker kepada pembentukan kerajaan.

Anwar Ibrahim mahupun Ismail Sabri tidak mempunyai sokongan majoriti yang mencukupi. Enam orang Ahli Parlimen yang dikategorikan sebagai kluster mahkamah yang menentukan siapa PM.

Oleh itu, rakyat perlu tahu hakikat sebenar bahawa Muhyiddin Yassin dan Ismail Sabri menjadi PM atas sokongan kluster mahkamah atau kleptokrat.

Persoalan jujur, patutkah rakyat menyokong kerajaan yang ditunjangi kleptokrasi?

Baca juga Takkan tiada seorang pun layak jadi Perdana Menteri?

Baca juga Subsidi minyak dipotong, projek mega RM900 juta pula diteruskan

*MUHAMMAD FAIZ FADZIL merupakan Jawatankuasa Pimpinan AMANAH Nasional juga ADUN Permatang Pasir.