Demam Piala Dunia: Gara-gara tiru gaya rambut Ronaldo, murid ini tanggung akibat

Oleh ARIF ATAN

Gara-gara membuat potongan rambut mirip legenda Brazil, Ronaldo Nazario, seorang murid berumur 12 tahun telah digantung sekolah.

Alfie Ransom diarah pulang dari Akademi Sirius West di Hull, England selepas diberitahu dia telah melanggar polisi sekolah.

Peminat tegar bola sepak itu diarahkan untuk tidak kembali selagi tidak mencukur bahagian depan rambutnya.

Untuk rekod, Ronaldo mencukur rambutnya dan meninggalkan sedikit jambul di depan ketika final Piala Dunia 2002 yang menyaksikan dia membantu Brazil menjulang trofi kelima.

Susulan tindakan keras akademi itu, ibu Ramsom kecewa dan menangis apabila diberitahu anaknya tidak boleh bersekolah gara-gara fesyen rambutnya.

Emma Shaw, 32, menjelaskan anaknya tidak mahu mengubah potongan rambut itu.

“Dia ­(Ransom) benar-benar kecewa apabila saya terpaksa memotong bahagian depan rambutnya sehingga menjadi botak.

“Pada mulanya, dia berasa gembira dengan fesyen rambut Ronaldo kerana pemain Brazil itu adalah idolanya.

“Anda boleh lihat betapa ­terujanya Alfie sehingga menaikkan semangatnya untuk ­mengayakan potongan rambut itu,” dipetik Agensi.

Ibu berkenaan turut berang apabila tindakan akademi itu diperbesarkan sehingga anaknya kini dikatakan terlibat dengan masalah ­disiplin di sekolah.

“Saya tidak percaya, hanya disebabkan rambut dia digantung sekolah dan dihantar pulang ke rumah. ­Bukannya dia menumbuk sesiapa.

“Ada cikgu memanggilnya bodoh hanya disebabkan dia mahu merasai suasana Piala Dunia, apa yang salahnya?” bidas Emma.

Baca juga ‘Tudung RM10 dah cukup lindungi auratku’ – Ini bukti wujudnya jurang pendapatan langit dan bumi

Baca juga Tokong Buddha kosong, semua sami kena angkut sebab positif dadah