Malaysia Dateline

Demi berkereta mewah, Muhyiddin sanggup ketepi hal rakyat semasa Covid-19 melanda

Ahli Parlimen Ledang, YB Syed Ibrahim Syed Noh menyifatkan cadangan pembelian kereta mewah untuk kegunaan Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Perdana Menteri pada waktu itu sebagai tidak wajar dan keterlaluan, ketika negara dihimpit wabak Covid-19.

Katanya, rakyat tidak boleh menerima apabila seorang Perdana Menteri sanggup untuk membeli kereta mewah berharga jutaan ringgit dalam keadaan di negara ini merana dalam meneruskan kehidupan.

“Tan Sri (Muhyiddin) sendiri sebut nak tumpu pada isu rakyat semasa negara berhadapan dengan Covid-19 tapi tindakannya tidak selari dengan apa yang diperkatakannya.

“Sebagai pemimpin negara apa yang dicakap kena selari dengan apa yang dilakukan tapi nampaknya beliau lebih berminat untuk berkereta baru,” katanya kepada Malaysia Dateline.

November lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan telah membatalkan pembelian Mercedes S600 yang dibeli dan diperoleh Jabatan Perdana Menteri untuk kegunaan rasmi dan katanya tempahan dibuat oleh Perdana Menteri terdahulu.

Dalam Dewan Rakyat baru-baru ini, Anwar menjelaskan, kereta Mercedes kalis peluru tersebut telah dipesan oleh kerajaan melalui Spanco (syarikat pembekal kenderaan kerajaan). Ia dibuat ketika Mahiaddin adalah perdana menteri.

Namun, katanya, ia tidak sempat dipakai oleh Mahiaddin kerana perdana menteri bertukar. Pengganti beliau, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub pula tidak sempat menggunakan kenderaan itu kerana pilihan raya umum.

“Apa salahnya saya menolak kereta itu dan meminta perundingan dibuat untuk memulangkannya kembali,” kata Anwar ketika menjawab dakwaan dari bekas Menteri Pendidikan, Datuk Radzi Jidin (PN-Putrajaya) yang menyifatkan Anwar hanya bersandiwara apabila menolak kereta.

Menurut Bekas Ketua Setiausaha Sulit Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Dr Marzuki Mohamad melalui hantaran di Facebook miliknya antara lain berkata:

“Sebagai Perdana Menteri pada masa itu, Tan Sri Muhyiddin diberikan dua pilihan kereta rasmi iaitu MPV Lexus dan Mercedes S600. Harga kedua-duanya terlalu mahal dan minit terakhir Tan Sri Muhyiddin kepada Jabatan Perdana Menteri ialah supaya harganya dikaji dan dirunding semula. Kelulusan akhir perlu dibuat oleh Kementerian Kewangan.”

Dalam masa sama, Syed Ibrahim turut mengingatkan pemimpin-pemimpin di semua peringkat untuk mencontohi sikap Perdana Menteri yang bersederhana dalam isu penggunaan kereta.

“Faham kedudukan dan imej sebagai seorang pemimpin tetapi kena beringatlah tidak terlalu mewah, kenderaan yang selesa dan bersesuaian pun sudah memadai.

“Eloklah dengan mencontohi sikap PM (Anwar) di mana-mana peringkat sekalipun, pakai apa sahaja yang sudah tersedia untuknya,” ujarnya lagi.

Baca juga Tiga inisiatif Agrobank untuk mangsa banjir