Malaysia Dateline

“Dendam saya terhadap Joseph Pairin, tidak selesai masalah PATI mengundi di Sabah”

Saya tidak mempunyai apa-apa dendam terhadap Joseph Pairin Kitingan. Sekiranya ada sekali pun, “dendam” saya terhadapnya adalah kerana dia tidak menyumbang apa-apa untuk menyelesaikan masalah pendatang tanpa izin dengan hak mengundi di Sabah yang berlarutan selama 45 tahun walaupun PBS kembali bersama Barisan Nasional pada tahun 2002.

Saya fikirkan, penyelesaian masalah pendatang tanpa izin dengan hak mengundi di Sabah ini akan menjadi salah satu syarat utama untuk PBS kembali bersama dengan Barisan Nasional pada tahun 2002, tetapi jelas sekali sangkaan saya ini salah.

Bolehkah Joseph Pairin jelaskan, mengapa?

Selain daripada menjadi Timbalan Ketua Menteri Sabah dari tahun 2004 sehingga 2018, dan menjadi Pengerusi Jawatankuasa Kerja Laporan RCI Pendatang Tanpa Izin di Sabah dari tahun 2015 sehingga 2018, dengan Maximus Ongkili juga menjadi Menteri Kabinet penuh dari tahun 2004 sehingga 2018 dan sekali lagi dari tahun 2020 sehingga kini dalam kedua-dua kerajaan Muhyiddin dan Ismail Sabri, bolehkah Joseph Pairin jelaskan bagaimana perkembangan ini semua menyumbang kepada penyelesaian masalah pendatang tanpa izin yang berlanjutan selama 45 tahun di Sabah ini?

Joseph Pairin Kitingan

Malang sekali, walaupun Joseph Pairin telah memberikan maklum balas kepada kenyataan saya, dia telah gagal untuk menyatakan apa yang telah dilakukannya sejak kembalinya PBS ke Barisan Nasional pada tahun 2002 untuk menyelesaikan masalah ini.

Dia dengan jelas mengelak untuk menjawab mengapa Laporan RCI tersebut tidak menyertakan kira-kira 5,000 muka surat yang mengandungi memorandum, nota bukti, pengakuan bersumpah, dan lampiran bukti yang dihantar kepada RCI semasa diterbitkan pada 3 Disember 2014 dan sama ada dia dan Jawatankuasa Kerja Laporan RCI mempunyai akses kepada 5,000 muka surat yang tidak diterbitkan ini?

Joseph Pairin hanya berminat untuk menyerang saya dari jauh.

Dia mengelak tanggungjawab dengan mendakwa yang Jawatankuasanya hanyalah sebuah jawatankuasa teknikal dan jawatankuasa utama yang membuat keputusan berada di bawah pimpinan Perdana Menteri dengan Ketua Menteri Sabah dengan Timbalan Pengerusinya.

Dia mengatakan yang dia telah mengadakan beberapa mesyuarat sambil menerima banyak cadangan melalui memorandum yang dihantar oleh parti politik, persatuan, dan orang ramai dan dia telah menyampaikan cadangan-cadangan “yang mempunyai merit dan boleh dipertimbangkan” kepada Jawatankuasa Utama.

Persoalannya kini, apakah cadangannya yang telah diterima dan dilaksanakan dan yang mana pula yang ditolak?

Bolehkah Joseph Pairin nyatakan cadangan ini, atau adakah semua cadangannya ditolak?

Adakah Joseph Pairin atau mana-mana pemimpin PBS menyokong saya apabila sayang mencadangkan dia dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana Laporan RCI dan bukannya Pengerusi Jawatankuasa Semakan Laporan RCI?

Izinkan saya untuk mengingatkan Joseph Pairin mengenai apa yang dikatakannya semasa pembukaan kongres PBS yang ke-29 di Kota Kinabalu pada November 2014, di mana dia mengatakan yang orang ramai meletakkan harapan yang tinggi kepada Kerajaan Persekutuan untuk menyelesaikan masalah pendatang tanpa izin di Sabah yang telah sekian lama berlanjutan dan lebih ramai lagi juga berharap untuk meneliti dapatan Suruhanjaya Siasatan Diraja dan juga penyelesaian kepada masalah ini.

Joseph Pairin mengatakan: “Pelaksanaan yang berkesan diperlukan, termasuklah penguatkuasaan yang tegas. Perkara ini juga memerlukan kekuatan politik. Kita perlu basmi persepsi dalam kalangan pendatang tanpa izin yang mereka mereka mempunyai hak untuk menceroboh Sabah.”

Saya masih ingat, pada Mac 2015, saya telah menjemput Joseph Pairin untuk hadir ke suatu forum di Kuala Lumpur untuk membentangkan rancangannya untuk menyelesaikan masalah ini – 10 bulan selepas Laporan RCI ini dihantar kepada Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong.

Bukan sahaja setakat tidak ada sebarang jawapan dari Joseph Pairin, tidak ada seorang pun pemimpin PBS yang menyokong cadangan saya supaya Joseph Pairin dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Laporan RCI dan bukannya hanya dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Semakan Laporan RCI ini, malah tidak ada apa-apa bentuk protes langsung dari mana-mana pemimpin PBS apabila Menteri Dalam Negeri ketika itu, Zahid Hamidi, menafikan wujudnya “Projek IC”.

Di manakah kehendak politik pemimpin PBS untuk menyelesaikan masalah pendatang tanpa izin dengan hak mengundi ini?
Saya masih ingat, semasa saya melawat Sabah pada tahun 1978, saya telah memberikan amaran yang Sabah berhadapan dengan tiga masalah besar – masalah pendatang tanpa izin, yang saya katakan telah mencapai sejumlah 140,000 orang ketika itu, masalah jenayah, dan masalah rasuah yang berleluasa.

Saya katakan dalam tahun 2015 yang semua masalah ini kini semakin teruk dalam empat dekad yang lepas, dengan jumlah pendatang tanpa izin meningkat kepada kira-kira 1.5 hingga 1.9 juta orang, menjadikan rakyat asal Sabah orang asing di tanah sendiri, dengan masalah jenayah dan rasuah yang semakin memburuk.

Tahun hadapan, Sabah akan menyambut ulang tahun ke-60 pembentukan Malaysia sejak 1963, tetapi masalah ini masih belum selesai.

Apakah jawapan Joseph Pairin?

Penting juga untuk ditekankan, yang Joseph Pairin tidak berkata apa-apa mengenai respons bekas Perdana Menteri, Najib Razak, yang dia telah melantik Presiden PBS sebagai ketua jawatankuasa pengurusan warga asing untuk “mengukuhkan sempadan, meningkatkan keselamatan, dan meneruskan usaha pembangunan”.

Mengapa Joseph Pairin seperti malu-malu kucing?

Sementara kita menunggu jawapan penuh dari Joseph Pairin, apakah pula jawapan yang akan diberikan seorang lagi adik beradik Pairin, Jeffrey Kitingan, yang kini merupakan Timbalan Ketua Menteri dan juga dilantik sebagai ketua jawatankuasa khas pekerja asing tanpa dokumen di Sabah pada bulan Februari tahun ini?

Adakah pelantikan Jeffrey ini hanya satu lagi helah tanpa sebarang penyelesaian terhadap masalah pendatang tanpa izin yang mempunyai hak mengundi ini?

Adakah Parlimen yang akan bersidang pada 19 Julai ini akan menamatkan masalah yang telah berlanjutan selama 45 tahun di Sabah ini?

Baca juga: Jika 1 juta paket minyak masak masuk Siam, agaknya berapa kartel dapat kaut untung?

Baca juga: Haram perkahwinan berbeza agama, kerajaan Indonesia tolak permohonan pasangan