Di mana Hamas semasa Israel menyerang Gaza?

Oleh NASUHA RAHMAN

Mungkin telah sepi sekarang setelah dicapai gencatan senjata, sesuatu yang tidak dibincangkan di peringkat antarabangsa dan menarik untuk diperhatikan dalam serangan regim haram Israel ke Gaza pada kali ini mengsasarkan Jihad Islam Palestin (JIP) dan para pemimpinnya.

JIP sebuah pertubuhan bawah tanah yang tidak diktiraf oleh kebanyakan negara Islam. Agak pelik kenapa ia tidak diperhatikan?

Namun pertubuhan tersebut agak berpengaruh di Gaza dan Tebing Barat dalam melancarkan serangan roket ke kawasan penempatan dan kawasan bandar di Israel. JIP adalah yang dimaksudkan itu dan untuk pertama kalinya serangan secara besar-besaran pihak tentera Israel mengsasarkan JIP dan para pemimpinnya.

Nama Hamas sepi di media antarabangsa dan tiada penglibatan secara terbuka mereka dalam serangan kali ini. Tetapi nama-nama pemimpin JIP seperti Tayseer Al-Jaabari, Bassam Al-Saadi dan Khalil Al-Awawdeh menjadi terkenal dan dikenali di dunia.

Pertubuhan JIP tidak diketahui sangat di persada antarabangsa cenderung kepada Iran. Tidak banyak bahan bacaan mengenainya di Barat.

Di mana Hamas semasa Israel menyerang Gaza?

Dalam pencarian di Google Search saya menemui sebuah buku tulisan Erik Skare bertajuk A History of Palestinian Islamic Jihad: Faith, Awareness, and Revolution in the Middle East.

Bahan lain mengenai JIP yang terdapat adalah terbatas dalam skop tidak bertumpu kepada JIP secara keseluruhannya seperti Hamas dan Fatah.

Seperti kita ketahui pengasas Hamas adalah Sheikh Ahmad Yassin dan pencarian mendapati pengasas JIP ialah Fathi Al-Shiqaqi.

Dalam serangan pada Jumaat lepas, laporan berita Barat menyatakan pihak tentera Israel mengsasarkan komander JIP, Tayseer Al-Jaabari yang tinggal di sebuah pangsapuri di kawasan Al-Remal, bandar Gaza City.

Beliau terbunuh bersama beberapa orang awam termasuk seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun, Alaa Qaddoum dan bapanya yang tinggal berdekatan Al-Jaabari.

Pihak berkuasa Israel mendakwa mereka telah melancarkan serangan awal bagi mematahkan rancangan serangan JIP.

Tindakan Israel itu mencetuskan gerak balas daripada JIP dengan melancarkan serangan roket ke arah kawasan penempatan Israel berdekatan dengan Semenanjung Gaza. Tindakan JIP ini diikuti dengan serangan roket oleh kumpulan kecil Palestin tetapi ia tidak melibatkan Hamas, pentabdir yang memerintah Gaza.

Kenapa Hamas tidak terlibat dalam serangan yang meruncing apabila angka korban akibat keganasan meningkat kepada lebih 40 orang (semasa artikel ini ditulis) di Semenanjung Gaza termasuk kanak-kanak? Namun Gencatan senjata telah diumumkan

Dan mengapakah regim haram Israel tidak mengsasarkan para pemimpin Hamas? Perdana Menteri Israel, Yair Lapid mendakwa JIP merancang menjalankan serangan sebagai tindak balas kepada penahanan tokon kanannya di Jenin, Bassam Al-Saadi.

Adakah kerana JIP mempunyai rapat dengan Iran? Umum mengetahui Iran merupakan musuh utama AS di rantau ini. JIP adalah pergerakan yang mengekalkan hubungan yang akrab dengan Iran dan secara ideologinya rapat dengan Republik Islam Iran berbanding dengan Hamas yang juga sekarang baru memulihkan hubungan sejak keregangan dalam krisis Syria.

Namun JIP lebih militan berbanding Hamas yang terlibat dalam proses politik dan pentadbiran. Israel mengetahui hubungan ini dan serangan Israel ini ada kaitan dengan usahanya menyekatkan sebarang penyeludupan senjata dan teknologi ketenteraan dalam kalangan pejuang terutamanya di Gaza, Jenin, Tulkarem dan Hebron.

Dalam serangan ke atas JIP, pihak Israel mengsasarkan JIP dengan harapan dapat menggugat pengaruh Iran di Palestin terutamanya di Gaza.

Namun seperti serangan-serangan lepas, serangan kali ini juga cenderung bermotifkan kedatangan pilihan raya.

Seperti Olmert, Netanyahu dan Nafteli Bennett, Lapid menggunakan serangan ke atas Gaza sebagai usaha mengukuhkan kedudukan dirinya sebagai Perdana Menteri dalam pilihan raya dijangka tiga bulan lagi.

Serangan tersebut menunjukkan Lapid dan Benny Grantz, Menteri Pertahanan sanggup melakukan apa sahaja mengorban nyawa mereka yang tidak berdosa dan kanak-kanak.

Oleh itu jenayah perang terbaharu ini sebagai kempen pilihan raya tidak bermoral yang mereka lakukan seperti yang menjadi amalan bekas-bekas Perdana Menteri sebelum ini.

Syarat mengekalkan jawatan sebagai Perdana Menteri Israel, calonnya haruslah melalui cabaran melakukan serangan dan pembunuhan ke atas warga Palestin bahkan tidak kira jika kanak-kanak sekali pun.

Mereka harus menunjukkan kepada pengundi bahawa demi Israel mereka sanggup melakukan apa sahaja walaupun bercanggah dengan nlai-nilai kemanusiaan.

Ini menyebabkan kenapa Hamas tidak ikut serta JIP dalam serangan balas dan keganasan regim haram tersebut ke atas Gaza. Hamas sudah berpengalaman dan masak dengan provokasi Israel.

Serangan ini sebagai kempen pilihan raya Israel dengan mempertaruhkan nyawa penduduk Palestin di Gaza.

Hamas sudah mengetahui bahawa regim pengganas sudah membuat persediaan awal seperti siapa yang menjadi sasaran mereka dan di mana tempat dan kawasannya.

Kemudian pihak berkuasa Israel menggunakan alasan serangan sebagai kononnya oleh sebab penahanan ke atas Al-Saadi, maka JIP akan melancarkan serangan terlebih dahulu. Oleh itu mereka harus melakukan serangan awal sebelum JIP bertindak.

Faktor lain yang menyebabkan Hamas tidak tergesa-gesa terlibat ialah kerana Hamas masih tidak pulih (dari segi logistiknya) daripada serangan regim haram pada Mei 2021.

Sayap Sayf al-Qudsnya kehilangan setengah daripada peluru berpandunya dan mengalami keupayaan terhad untuk melakukan serangan secara besar-besaran.

Faktor lain jika sesiapa masih ingat Hamas menerima bantuan daripada kerajaanQatar. Sekiranya Briged Al-Qassam terlibat secara terbuka, geran bantuan dari Qatar berjumlah AS50 juta sebulan akan terjejas, yang meliputi dua sumber pendapatan utama seperti 95,000 keluarga menerima AS$100 bantuan kewangan setiap bulan dan ancaman pendapatan 15,000 penduduk Palestin yang bekerja di Israel.

Hamas mungkin tidak sanggup kehilangan geran ini. Keadaan ini juga akan membuat Hamas harus membuat banyak pertimbangan sebelum membantu JIP secara terbuka

Hamas mengetahui sasaran Israel hanyalah di Gaza dan tidak melibatkan Tebing Barat. Walaupun Hamas tidak menunjukkan tindak balas secara terbuka, Hamas tentu memainkan peranan belakang tabir.

Dan inilah yang digeruni Lapid kerana beliau tidak mahu beg mayat dalam kalangan tentera Israel dan peneroka di kawasan penempatan dibawa pulang ke Israel. Ini umpama senjata makan tuan dan mengundang kesan buruk kepada kempen pilihan rayanya.

Atas alasan inilah juga beliau tidak menyerang mana-mana kawasan Hamas dan mengehadkan serangan kepada kawasan JIP dan para pemimpinnya.

Beliau mengetahui jika Hamas, JIP dan kumpulan penentang lain bersama-sama bangun menentang regim haram di Tebing Barat dan Gaza, maka ia akan memberikan tekanan kepada kelangsungan politiknya.

Baca juga: Gaji tinggi, mata wang kukuh daripada RM punca ramai berhijrah, kerja di Singapura

Baca juga: Influencer kahwin dengan anak tiri yang dijaga sejak umur 7 tahun, bakal timang anak kedua