Malaysia Dateline

Dialog tentang PN dan peniaga cendol

“Tinggal berapa hari lagi mengundi. Jangan mengundi Pakatan Harapan (PH) sebab di dalamnya ada (DAP),” kata seorang penjual cendol kepada saya.

Saya singgah di gerai cendol Jalan Majidi dekat Taman Sri Tanjung Muar itu seusai menjamu selera di gerai Asam Pedas Jalan Joned tengahari itu.

Saya memesan semangkuk cendol dicampur jagung. Oleh kerana tiada pelanggan lain, saya dan peniaga yang bermotosikal itu berbual santai.

Dia memang asal orang Muar dan dah lama berniaga di situ.

“Abang sokong parti apa? Selain PH ada BN (Barisan Nasional) dan PN (Perikatan Nasional),” soal saya.

Beliau menjawab ringkas, “BN rasuah.”

“Jadi abang sokong PN lah ya?” serkap saya.

“Ya. PN parti Melayu,” katanya yakin.

Saya jelaskan pada penjual cendol itu bahawa ketiga-tiga gabungan parti yang bertanding dalam PRU kali ini semuanya dianggotai parti majoriti Cina.

PH dianggotai DAP, BN ada MCA dan PN pula disertai Gerakan. Malah PN juga disertai parti bukan Melayu dari Sabah.

Penjual cendol itu tergamam namun mendakwa kononnya PN punyai ramai calon Melayu.

Saya katakan padanya, daripada tiga gabungan tersebut, PH paling ramai meletakkan calon Melayu berbanding BN dan PN.

Fakta menunjukkan bahawa PH menampilkan 142 calon Melayu-Islam, PN (136) dan BN (122)

Sekali lagi penjual cendol itu tergumam. Ia membangkitkan pula isu-isu membabitkan sensitiviti Melayu dan Islam sepanjang 22 bulan pentadbiran PH.

“Banyak aset Tabung Haji (TH) dijual,” katanya lagi.

Saya nasihati penjual cendol itu agar berhati-hati dengan tuduhan-tuduhan berunsur fitnah itu. Malah apa yang berlaku sepanjang 33 bulan pemerintahan PN/BN lebih teruk berbanding era PH.

Lihat sahajalah isu judi, arak, pemandu mabuk, LGBT, konsert dan sebagainya. Semuanya lebih subur berlaku di era 33 bulan PN/BN memerintah.

“Orang yang mendakwa kononnya PH menjual aset TH kalah saman fitnah,” ujar saya.

Malah Jabatan Audit Negara sendiri memuji langkah pemulihan TH yang dilaksanakan di era pentadbiran PH.

Akhirnya abang cendol terdiam setelah hujah demi hujahnya dibidas. Dia hanya mahu melihat umat Islam bersatu walau apapun keputusan PRU nanti.

Kasihan juga memikirkan situasi yang dialami penjual cendol itu. PRU yang berlangsung 5 tahun sekali sepatutnya memberi impak yang positif kepada peniaga kecil seperti beliau.

Daripada hanyut dengan sentimen agama dan kaum yang tidak memberi sebarang manfaat, adalah lebih baik untuk si penjual cendol melihat tawaran parti-parti yang bertanding terhadap kelompok rakyat seperti beliau dan membuat keputusan berdasarkan tawaran-tawaran itu.

Begitu jugalah dengan anak-anak muda yang terikut-ikut dengan sentimen kaum dan bangsa sehingga meleret-leret berkempen di TikTok dan media sosial.

Mereka hanya memperbodohkan diri dengan bersikap serba tahu atau hanya menyampaikan apa yang diberitahu, tanpa sandaran fakta dan hujah.

Cuma saya bernasib baik kerana tidak dihukum kafir oleh si penjual cendol semata-mata kerana menyokong PH yang di dalamnya ada ‘dap’.

Baca juga: Semua gabungan politik ada parti majoriti Cina

Baca juga: PRU-15: “Saya akan buat ucapan penutup bagi seluruh negara di Tambun” – Anwar