Dibenar diami flat hingga Julai, penduduk Kg Sg Baru tetap tak puas hati, lancar petisyen desak batalkan warta segera

Oleh KIM SYAZIE

Biarpun dibenar diami flat hingga hujung Julai depan, penduduk Kampung Sungai Baru, Kampung Bahru tetap tak puas hati, lancar petisyen desak kerajaan batalkan warta segera.

Penduduk Kampung Sungai Baru, Kampung Bharu, Kuala Lumpur telah melancarkan satu petisyen mendesak kerajaan agar membatalkan semula warta pengambilan tanah Kampung Sungai Baru.

Petisyen yang digerakkan di laman change.org itu kini mencecah hampir 80,000 tanda tangan yang tidak bersetuju tanah mereka diambil.

Menurut individu yang menggerakkan petisyen tersebut dengan menggunakan nama Kampung Sungai Baru, Kampung Bharu, dia mendakwa penduduk flat sudah mula diarah keluar dari rumah dan kosongkan flat dalam bulan Ramadan ini juga, manakala pemilik teres pula sedang menunggu giliran.

Dia menegaskan bahawa pengenaan Akta Pengambilan Tanah kepada penduduk Kampung Sungai Baru, Kg Bharu sewaktu darurat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) adalah penindasan terang-terangan yang bersifat kejam.

Katanya, warta tersebut dikenakan ketika rakyat melarat, hilang kerja, dan serabut dengan pandemik.

“Langsung tiada empati. Kerajaan tak membantu langsung dan lebih berpihak kepada pemaju. Padahal rakyat yang patut didahulukan. Atau mungkin kerajaan ada agenda bersama pemaju?

“Akta ni pemaju yang mohon, dan senang betul diluluskan kerajaan. Adakah ini kerajaan untuk pemaju atau kerajaan untuk rakyat?

“Apa tahap kredibiliti pemaju yang mudah sangat dapat kelulusan menghalau orang dari tanah sendiri?,” soalnya dalam petisyen berkenaan.

Kenapa beriya-iya nak tempat kami?

Sementara itu menerusi ciapan Twitter Kampung Sungai Bharu, dia bertanya mengapa pemaju terdesak mahukan tempat mereka.

“Kenapa pemaju beriya-iya nak tempat kami? Lihatlah  lokasi kami. Pemaju mana yang tak mau bangunkan? Berhadapan KLCC, dekat dgn Saloma Bridge, LRT Kg Baru, syurga makanan. Fuhh. Semua ni akan jadi P.O.S mereka untuk jual property nanti.

“Penduduk asal “majoriti” yang sign usahasama (JV) hanya mampu tgk dari pangsapuri yg terletak jauh hujung bertentangan dgn kemudahan di atas. Prime area untuk pemaju buat duit kaw2.

“Kata pemaju, penduduk tak layak dapat unit di ‘prime area’. Duduk la berlonggok pemilik flat & teres dalam  pangsapuri di hujung Kg Sg Baru. Bahagian tengah untuk pemaju buat duit. Padahal itulah tapak perumahan asal penduduk.

“Proposed JV berat sebelah, bila penduduk reject agreement JV, diguna akta pulak! Masa darurat pulak tu. Lepas tu pampasan pun rendah. Untung jadi pemaju! Modal rendah, pulangan tinggi. Siapa yang tamak sekarang?,” soalnya.

11 April lalu, Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB) membenarkan penduduk terus mendiami flat Kampung Sungai Baru sehingga 31 Julai ini.

Ia selepas 40 keluarga yang mendiami flat PKNS Sungai Baru kecewa kerana notis pengosongan diterima 1 April menjelang bulan puasa, selain ia tidak menyatakan tarikh akhir untuk mereka mengosongkan rumah.

Untuk rekod pada Julai 2021, penduduk di Kampung Sungai Baru telah menerima surat Warta Seksyen 8, Akta Pengambilan Tanah 1960 yang memaksa mereka keluar dari tanah itu dengan pampasan.

Namun penduduk khususnya penghuni rumah teres tidak setuju dengan kadar pampasan RM400 kaki persegi ditetapkan oleh PTGWPKL.

Kami kongsikan lanjut luahan hati Kampung Sungai Bharu yang menggerakkan petisyen berkenaan:

Untung betul jadi pemaju

Penduduk Kampung Sungai Baru, Kg Bharu tak menolak pembangunan. Tapi bukan pembangunan yang pijak hak penduduk.

Kami mengalu-alukan pembangunan yang wajar dan mengambil kira aspek kesejahteraan, impak sosio-ekonomi dan faktor kewangan penduduk. Senang-senang suruh orang keluar dari rumah sendiri.

Pemaju kata ini usahasama (JV), tapi berat sebelah dan untungkan pemaju semata. Tahukah anda, lepas projek ni jadi, pemaju akan jadi pemilik penuh geran?

Sepatutnya pemilikan tanah kekal kepada pemilik. Ini adalah manipulasi oleh pemaju. Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB) patut memihak kepada penduduk juga tunduk kepada pemaju.

Bagi mereka yang menolak projek ini, dihukum dengan akta dan hanya akan dibayar pampasan semurah-murahnya. Untung betul jadi Pemaju! Modal rendah, dapat lubuk emas, hasil berlipat ganda.

Pemilik asal hanya mampu lihat sahaja hasil keuntungan pemaju dari longgokan pangsapuri yang kononnya dijanjikan kondominium.

Jadi, apa keuntungan yang pemilik aset dapat sebagai pelabur utama? Siapa yang tamak sekarang? Kampung Bharu secara keseluruhan memang dah padat. Ditambah lagi dengan pembangunan yang sama di kawasan Kg Sg Baru.

Kita tak perlu lagi bangunan tinggi. Kampung Bharu patut dipelihara & dipulihara jadi kawasan perkampungan Melayu tengah bandar dengan nilai sejarah.

Bukan dibangunkan bangunan 50 tingkat kerana nak kaut untung semata-mata. Projek ini juga merupakan ‘trial & error’ (projek pengambilan Flat & teres) dan kalau berjaya, tempat lain juga akan jadi mangsa.

Baca juga: Mahasiswa dah boleh mohon tablet bermula esok, ini spesifikasi minimum tablet siswa patut tahu

Baca juga: Lelaki usia 103 tahun kahwin kali ketiga, mahu lebih ramai anak