Malaysia Dateline

Dipenjara 15 tahun, tiga sebatan selepas rogol isteri rakan yang hamil tujuh bulan

Seorang penganggur hari ini dipenjara 15 tahun dan tiga sebatan atas kesalahan merogol isteri rakannya yang hamil tujuh bulan.

Zul Hafiqhafizi Zakaria, 25, dijatuhkan hukuman itu selepas menerima pengakuan bersalah, menimbangkan rayuannya dan hujah pendakwaan serta kenyataan impak mangsa (VIS) mengikut Seksyen 183A Kanun Tatacara Jenayah.

Hakim Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Nariman Badruddin menetapkan hukuman penjara bermula dari tarikh tertuduh ditangkap pada 24 Januari lalu.

Terdahulu, Nariman turut bertanya adakah tertuduh menyesal selepas mendengar keterangan impak mangsa serta menegaskan perbuatannya itu amat terkutuk.

Tertuduh bertindak menutup mulut, mengacukan pisau dan menyuruh mangsa yang sarat untuk diam.

Mengikut kertas pertuduhan tertuduh didakwa merogol mangsa berusia 25 tahun tanpa kerelaannya pada 21 Januari lalu, kira-kira jam 4.20 pagi di sebuah rumah di Taman Merlimau, Jasin.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan, memperuntukkan hukuman penjara minimum 10 tahun dan maksimum 30 tahun dan sebat.

Timbalan Pendakwa Raya Anis Najwa Nazari dalam hujahannya memohon hukuman berat dikenakan kepada tertuduh mengambil kira trauma teruk dialami mangsa yang sarat mengandung anak pertama ketika dirogol dan diugut dengan pisau.

Katanya, berdasarkan VIS mangsa antara lain mengalami emosi tidak stabil, takut tinggal sendirian dan berhadapan suami kerana berasa diri jijik dan hina serta malu dan tertekan, dipetik BH.

Sementara itu, fakta kes menunjukkan mangsa tersedar dari tidur di ruang tamu rumahnya kira-kira jam 4.20 pagi kerana sakit pinggang sebelum diserang oleh tertuduh yang bertindak menutup mulut, mengacukan pisau dan menyuruhnya diam.

Tertuduh kemudian bertanya di mana suami mangsa sebelum memaksa mangsa membuka pakaian dan merogolnya sebelum melarikan diri mengikut pintu belakang.

Baca juga: https://malaysiadateline.com/kes-rogol-termasuk-orang-agama-di-kelantan-naik-46-peratus/

Baca juga: https://themalaysialife.com/manusia-bertopengkan-syaitan-bapa-perkosa-anak-hingga-mati/