Malaysia Dateline

Doktor beri amaran jangan biasakan bawa anak ke pawagam, banyak kesan tak baik pada bayi

Sejak kebelakangan ini, orang ramai menimbulkan keresahan dan rasa kurang selesa terhadap sikap segelintir ibu bapa yang selamba membawa anak kecil ke panggung wayang.

Seperti perkongsian seorang doktor yang juga merupakan Presiden Medical Mythbusters Malaysia, Dr. Ahmad Firdaus Mohd Haris, beliau memberi amaran agar ibu bapa berfikir sebaiknya sebelum membawa bayi di bawah usia dua tahun ke pawagam kerana ada beberapa risiko besar yang akan berlaku terhadap anak kecil ini.

Beliau berkata, bunyi diukur melalui nilai decibel (dB) dan secara amnya, decibel yang selamat untuk pendengaran adalah 85 dB ke bawah.

Lebih daripada itu katanya, dianggap tidak selamat jika terdedah secara berterusan.

“Ini untuk dewasa, kalau bayi didedahkan kepada bunyi yang kuat secara beterusan boleh menyebabkan kerosakan,” katanya dalam kemaskini di Facebook.

“Selain itu, suhu di pawagam biasanya sangat sejuk di mana orang yang mempunyai selaput lemak yang tinggi pun boleh rasa kesejukannya. Inikan pula bayi yang kecil. Jika terdedah kepada suhu rendah terlalu lama, ia akan mengakibatkan hipotermia,” tambahnya lagi.

Dr Ahmad Firdaus menjelaskan bahawa pawagam adalah tempat yang tertutup dan bayi pula tidak boleh mengenakan pelitup muka akibat risiko sesak nafas.

Justeru katanya, bayi akan mudah terdedah kepada risiko jangkitan kuman bawaan udara (airborne) dengan lebih mudah.

“Kemudian bayangkan tengah syok layan jiwang sambil meleleh air mata, bayi menangis sekuat hati. Hati penonton akan koyak. Stress. Nak marah tapi kena sabar. Akhirnya rasa rugi pula beli tiket mahal-mahal.

“Jadi, janganlah bawa bayi atau kanak-kanak yang tak faham cerita “heavy” di pawagam. Bergilirlah tonton di pawagam ataupun dapatkan khidmat penjaga,” katanya lagi.

Baca juga: Jurucakap nafi Johnny Depp bakal kembali dalam ‘Pirates Of the Carribean’, dakwa ia hanya rekaan

Baca juga: Guru mengaji hadapi 17 pertuduhan rogol dan amang seksual terhadap dua beradik 7 tahun lalu mengaku tidak bersalah