Malaysia Dateline

Dolar Singapura catat paras tertinggi berbanding Ringgit Malaysia

Nilai mata wang Singapura, dolar Singapura (SGD) mencatatkan peningkatan tertinggi pada semalam berbanding Ringgit Malaysia (RM), lapor Channel News Asia (CNA).

Dolar Singapura mencecah RM3.1964 pada pagi semalam sebelum menyusut perlahan pada hari yang sama pada kadar akhir RM3.1950.

“Tiada sebab yang spesifik, tetapi faktor teknikal dasar mata wang Singapura yang menyebabkan nilai ini mencecah paras tertinggi sepanjang masa,” kata Ketua FX Analysis di MonFX, Simon Harvey seperti dilapor CNA.

Harvey berkata, sentimen yang dilaksanakan oleh Amerika Syarikat (AS) terhadap China turut menyumbang kepada pengukuhan SGD.

Dilaporkan, Presiden AS, Joe Biden yang mempertimbangkan untuk melakukan pemotongan tarif terhadap barangan buatan China telah membantu menaikkan Yuan ke paras tertinggi sejak 5 Mei.

“Dengan yuan menguasai kepentingan terbesar dalam kelompok S$NEER Singapura, peningkatan ketara mata wang yuan turut mengheret dolar Singapura lebih tinggi apabila peniaga mata wang berusaha untuk mengimbangi susut nilai dalam dolar Singapura berbanding yuan dengan mata wang lain.

“Ini telah memperkukuh SGD berbanding pelaburan lain termasuk USD (+0.49 peratus), RM (+0.13), HKD (+0.47) dan JPY (+0.05), seterusnya memacu kadar Dollar Nominal Effective Exchange Rate (S$NEER),” katanya.

Baca juga: Malaysia tidak akan eksport ayam lagi mulai 1 Jun depan