Malaysia Dateline

Takkan tiada seorang pun layak jadi Perdana Menteri?

Perang dalam Umno, tuduhan jenayah yang semakin banyak ke atas ketua-ketuanya, “peran” Najib yang semakin menjadi-jadi, kerajaan yang terumbang-ambing dan pembangkang yang tidak meyakinkan adalah antara manifestasi maladi politik Malaysia yang bertambah teruk.

Tanyalah sesiapa pun, siapa bakal Perdana Menteri selepas pilihan raya umum akan datang, mulut mereka melopong dan pandangan mata mereka kosong. Mereka akan tanya balik, siapa?

Saya kata, tidak kiralah siapa – Ismail Sabri, Khairy, Anwar, Rafizi, Mohamad Hasan, Nurul Izzah atau Shafie. Takkanlah daripada lebih 30 juta rakyat Malaysia, tidak ada seorang pun layak jadi Perdana Menteri?

Anwar Ibrahim

Dikatakan pula, dengan sokongan Mohd Najib Abdul Razak, Ahmad Zahid Hamidi dan banyak lagi Ahli Parlimen Umno, Anwar Ibrahim ada majoriti. Kalau dia ada majoriti, pasal apa tidak dilantik jadi Perdana Menteri? Siapa pula yang berkonspirasi?

Apa dah jadi dengan Malaysia kita ini? Takkanlah Tunku Abdul Rahman, Abdul Razak Hussein, Hussein Onn, Dr Mahathir Mohamad, Abdullah Ahmad Badawi dan Mohd Najib Abdul Razak itu saja yang kita ada?

Kluster mahkamah, tak kiralah parti mana, kita tolak sebelah. Ada antara mereka yang tinggal selangkah saja lagi ke penjara.

Tuduhan ke atas mereka ada banyak lagi. Melainkan nasib negara bernama Malaysia ini cukup-cukup malang, diperintah oleh hantu jembalang logiknya mereka ini akan menebus dosa mereka terhadap rakyat jelata dari penjara.

Adakah kita akan jadi macam Indonesia pasca-Orde Baru (kediktatoran Suharto)? Selama 16 tahun ia terumbang-ambing daripada seorang Presiden kepada Presiden yang lain sehinggalah Joko Widodo (Jokowi) naik menjadi Presiden pada 2014?

Harap-harap tidaklah seburuk itu. Moga-moga menjelang PRU nanti, muncullah pilih atur (permutation) dari segi calon Perdana Menteri dan gabungan parti-parti politik yang berintegriti.

Baca juga Selepas londeh isu dalaman Umno, Tajuddin muncul sohor kini di Twitter

Baca juga PDRM buka kertas siasatan sebab orang ramai mengadu dapat mi segera perisa babi lepas derma darah