Malaysia Dateline

Dr Mahathir bising kerana kerelevanannya semakin pudar

Kritikan bekas Perdana Menteri keempat dan ketujuh, Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim membuktikan bahawa kerelevanan pemimpin veteran itu dalam politik negara semakin pudar.

Pensyarah pengajian Asia, Dr James Chin dari Universiti Tasmania, Australia berkata, kritikan Mahathir dengan naratif yang hampir sama sebagaimana 20 tahun lalu menunjukkan bekas Ahli Parlimen Langkawi itu sendiri semakin kurang relevan dalam arus politik semasa negara.

“Ini petanda Dr Mahathir semakin kurang relevan dalam politik Malaysia. Masyarakat tidak lagi mengambil pandangannya dengan serius.

“Beliau, Mukhriz dan pakatan pimpinannya – Gerakan Tanah Air (GTA) kalah dan hilang deposit dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). Beliau dan Mukhriz berada dalam keadaan sukar dari sudut politik,” katanya.

Untuk rekod, Mahathir antara 369 calon kerusi Parlimen yang kalah teruk dan hangus wang deposit dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

Dia gagal mempertahankan kerusi Parlimen Langkawi dimenanginya pada PRU14 dengan hanya mengaut 4,566 undi, sekali gus tewas kepada Mohd Suhaimi Abdullah mewakili Perikatan Nasional (PN) yang menang dengan majoriti 13,518 undi.

Mengulas lanjut, Chin menambah bahawa kenyataan Mahathir yang juga mantan Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu hanya mengulangi pendiriannya lamanya pada 1990-an.

Dalam wawancara dengan Berita Harian, 25 Disember lalu, Mahathir menyatakan ketidakyakinannya terhadap Anwar untuk memimpin Malaysia keluar daripada krisis kemelesetan ekonomi dan cabaran pemulihan ekonomi pasca pandemik Covid-19.

Beliau mendakwa pendapatnya itu adalah berdasarkan ketidakupayaan Anwar berdepan dengan krisis kewangan Asia dua dekad lalu.

Dalam masa sama, bekas Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia itu turut berpendapat persoalan moral Anwar tidak boleh lagi dijadikan isu kerana pemimpin PKR tersebut sudah pun mendapat pengampunan diraja.

Baca juga Turunkan harga ayam, telur melalui rantaian bekalan