Malaysia Dateline

Turunkan harga ayam, telur melalui rantaian bekalan

Rantaian bekalan penting dalam hidup kita. Walaupun kita teliti apabila memilih kedai-kedai yang menjual ayam pada harga yang lebih murah, isu rantai bekalan masih signifikan kepada keputusan kita.

Rantai bekalan mempengaruhi bisnes. Walaupun orang bisnes pandai mengira kos, meletak harga dan menjual produk, namun rantai bekalan tetap mempunyai risikonya yang tersendiri.

Bukan sahaja menjadi isu belanja dapur, rantai bekalan juga merupakan isu ekonomi dan politik.

Kenyataan Rafizi Ramli mengenai harga ayam dispin sana-sini oleh haters untuk menjatuhkan kredibiliti beliau.

Tanggungjawab mengenai rantaian bekalan bukan tanggungjawab ketua keluarga. Ketua keluarga umpama sebutir skru kecil dalam sebuah mesin yang besar. Ia kecil sangat.

Isu rantaian bekalan merupakan tanggungjawab setiap kementerian.

Berhubung dengan isu rantaian bekalan ayam dan telur, sudah tentu menteri-menteri berikut terlibat:

  1. Menteri Pembangunan Negara dan Luar Bandar
  2. Menteri Perladangan dan Komoditi
  3. Menteri Pengangkutan
  4. Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan
  5. Menteri Ekonomi
  6. Menteri Dalam Negeri
  7. Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri
  8. Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi
  9. Menteri KPDNHEP
  10. Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi
  11. Menteri Komunikasi dan Digital
  12. Menteri Sumber Manusia
  13. Menteri Kesihatan
  14. Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim

Rafizi Ramli elok dilantik menjadi Menteri Koordinasi Rantai Bekalan tanpa gaji tambahan kerana isu rantaian bekalan bukan ‘one man show’. Ia tugas besar. Ia melibatkan koordinasi antara kementerian.

Lebih mudah untuk dapatkan keanjalan harga produk, apabila harga elemen-elemen dalam rantaian bekalan juga anjal. Menekan orang bisnes tidak selesaikan masalah. Menyuruh orang tidak membeli apabila harga mahal juga tidak selesaikan masalah.

Rantaian bekalan merupakan keseluruhan sistem yang melibatkan pengeluaran dan penghantaran produk atau perkhidmatan, dari peringkat bahan mentah dan sumber sokongan hingga kepada pengguna akhir.

Rantai bekalan libatkan semua aspek dalam proses pengeluaran, termasuk aktiviti yang terlibat pada setiap peringkat, maklumat yang dikomunikasikan, sumber asli yang diubah menjadi bahan berguna, sumber manusia dan komponen lain yang masuk ke dalam produk atau perkhidmatan.

Dalam rantai bekalan, setiap pihak yang terbabit mengawal dan menurunkan kos operasi supaya hasil akhirnya dapat dinikmati oleh rakyat.

Rantaian bekalan mempengaruhi kos produk. Apabila terdapat banyak pihak yang terlibat antara bahan mentah dengan produk akhir, semakin banyak bahagian kos yang terlibat.

Kos ini merupakan untung kepada syarikat yang terlibat. Kos pada pengeluar bahan mentah tidak sama dengan kos mengilang. Kos pada pemborong dan pengedar juga lain. Kesemua kos ini akan diserap oleh pengguna produk akhir.

Terdapat pelbagai teknik penambahbaikkan dan penjimatan kos dapat dimanfaatkan untuk menangani isu kos bersekali dengan kualiti dan delivery.

Kos operasi dalam rantaian bekalan perlu dikawal supaya hasil akhirnya dapat dinikmati oleh rakyat.

Lean manufacturing juga banyak membantu. Prof Shari M Yusof mempunyai pengalaman luas mengenai lean manufacturing. Beliau kini berada di Meiji University, Jepun.

Rantai bekalan putus merupakan risiko lain rantai bekalan. Rantai bekalan menjadi kompleks apabila produk mempunyai banyak komponen dan perlu melalui pelbagai proses sebelum ia boleh dihantar kepada pelanggan.

Rantai bekalan boleh bermula di pasaran domestik atau luar negara. Apabila bekalan terputus, ramai yang akan terkesan. Ini berlaku kepada banyak industri dan syarikat. Telur tidak cukup merupakan isu rantai bekalan juga.

Rantai bekalan dianalisa pada peringkat pembentukan strategi bisnes dan operasi sedang berjalan. Apabila krisis terjadi, analisa yang dilakukan adalah untuk mengawal risiko yang sedang dan akan berlaku. Analisa berkenaan dilakukan untuk pastikan supaya risiko rantai bekalan dapat dikawal.

Justeru, klausa 4.1, 4.2, 6.1 dan 6.2 ISO 9001:2015 amat penting untuk menangani isu-isu berhubung dengan rantai bekalan.

Amat rugi apabila syarikat yang mempunyai sijil ISO 9001:2015 tumpukan kepada prinsip ‘dokumen mesti cantik’ serta jadikan dokumen sebagai pasu bunga dan hidangan kepada auditor semata-mata.

Menariknya, antara pakar mengenai rantai bekalan di peringkat dunia ialah orang Malaysia. Namanya ialah G. Keong Leong.

Beliau merupakan seorang tenaga akademik di California State University at Dominguez Hills. Beliau pernah berkhidmat di Ohio State University dan University of Nevada at Las Vegas. Inputnya jadikan Walmart sebagai retailer terbesar di dunia.

Dia menulis banyak buku mengenai rantai bekalan dan menerbitkan artikel-artikel penyelidikan mengenai bidang berkenaan dalam jurnal-jurnal berimpak tinggi seperti Journal of Operation Management, International Journal of Logistics Management dan International Journal of Production Research.

Baca juga 13 treler, trak pikap dari Permatang Pasir hantar bantuan kepada mangsa banjir Kelantan dan Terengganu