Malaysia Dateline

Dua beradik bergaduh rebut tempat duduk dalam kereta sebelum adik maut tertusuk pisau dibaling kakak

Dua beradik dikatakan bergaduh kerana berebut tempat duduk di dalam kereta semasa pulang dari sekolah sebelum adik maut tertusuk pisau yang dibaling kakaknya.

Kejadian berlaku di di Kampung Ulu Pulai, Ulu Choh Iskandar Puteri di mana remaja lelaki berusia 16 tahun maut kerana tertusuk pisau dibaling si kakak berusia 18 tahun.

Menurut polis, ibu mangsa mendakwa kedua beradik itu bergaduh ketika pulang dari sekolah kerana berebut tempat duduk di dalam kereta.

Katanya, kakak mangsa mengaku membaling pisau ke arah mangsa selepas dipersenda ketika masuk ke dalam rumah.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin berkata, polis menerima panggilan berhubung kejadian pada 2.15 petang.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati, kejadian berpunca daripada pergaduhan adik-beradik.

“Suspek ditahan dan perintah tahan reman akan dipohon.

“Mangsa disahkan meninggal dunia pada 2.30 petang hari ini.

“Bedah siasat akan dijalankan esok di Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Baca juga: Ribuan tonton Sajat tidur berdengkur gara-gara terlupa ‘end live’- Ramai nak kejutkan dia tapi tak boleh