Malaysia Dateline

Dua bulan tiga kali banjir, apa dah jadi Baling?

Banjir kepala air di Baling yang telah berlaku sebanyak tiga kali dalam tempoh dua bulan adalah suatu bencana yang tidak boleh dipandang ringan oleh kerajaan negeri.

Kerajaan negeri Kedah perlu mengambil tindakan segera dalam menangani bencana alam itu setelah ia senantiasa berulang sejak kebelakangan ini.

Adun Pengkalan Kundor, Datuk Dr Ismail Salleh berkata, kali pertama banjir kepala air di Kampung Iboi, Baling adalah pada 4 Julai lalu diikuti 28 Julai dan kali ketiganya pada 6 September lepas.

Katanya, banjir kepala air yang berlaku pada 6 September lalu setelah hujan hanya selama 30 minit sahaja tetapi menyebabkan Jambatan Bailey yang baru dibina hampir runtuh dan beberapa buah keluarga turut dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

“Banjir kepala air kali ketiga dalam tempoh dua bulan menyebabkan penduduk Kampung Iboi dan kampung-kampung sekitarnya berada dalam keadaan bimbang, trauma dan ketakutan setiap kali langit mendung.

“Sejak banjir kali pertama pada Julai lepas, penduduk mengalami kerugian kerosakan harta benda dan nyawa dalam keadaan yang sentiasa terancam.

“Oleh itu, penduduk menuntut satu tindakan segera yang komprehensif daripada pihak kerajaan dalam menangani isu ini,” ujarnya.

Timbalan Pengerusi AMANAH Kedah itu berkata, dalam sidang DUN pada 18 Julai lalu, satu usul tergempar telah dikemukakan bagi membincangkan isu banjir kepala air di Baling, namun begitu ianya telah ditolak.

Lebih malang lagi tegasnya, jawapan kerajaan negeri dengan menyatakan mereka belum bersedia dan masih menanti laporan daripada jabatan-jabatan berkenaan serta pada masa yang sama turut mendakwa telah mengambil tindakan yang sewajarnya.

Untuk rekod, banjir di Baling pada 4 Julai lalu menjejaskan 41 kawasan dan mengorbankan tiga sekeluarga termasuk seorang wanita hamil berusia 23 tahun.

Baca juga Dunia sedang menuju kiamat iklim, ini 6 petunjuk kritikal perubahan iklim ekstrem

Baca juga Remaja perempuan ditemui maut tersangkut di celah batu