Dua lagi MP Umno akan tinggalkan Mahiaddin, dakwa Puad Zarkashi

Oleh ARIF ATAN

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi mendakwa dua lagi Ahli Parlimen dari parti itu akan menarik sokongan terhadap Perdana Menteri.

Menurutnya, tindakan tersebut bakal menyaksikan Tan Sri Mahiaddin Md Yasin berbaki 98 sokongan ahli Dewan Rakyat.

Sehubungan itu, bekas Ahli Parlimen Batu Pahat tersebut berpendapat keabsahan Mahiaddin sebagai Perdana Menteri serta kedudukan kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak perlu dinantikan di Dewan Rakyat bulan depan.

“Tinggal 100 MP sahaja yang sokong PM. Ada dua lagi MP Umno dijangka akan menarik sokongan terhadap PM. Maka tinggal 98.

“Tak payah tunggu 6 September untuk usul “undi percaya”,” tempelaknya dalam hantaran di Facebook pagi ini.

Dalam Perutusan Khas Perdana Menteri, 4 Ogos lalu, Mahiaddin yang juga Pengerusi PN dan Presiden Bersatu itu berkata sudah menyembah maklum kepada Yang di-Pertuan Agong bahawa beliau akan menentukan keabsahannya sebagai Perdana Menteri di Parlimen.

Mengulas lanjut, Puad menegaskan Mahiaddin sepatutnya membuka sidang Parlimen bulan ini juga malah lebih baik berundur dari Putrajaya.

“Cepatkan sahaja sidang khas Parlimen ke bulan Ogos ini. Lagi bagus kalau PM letak jawatan segera.

“Mohon YDP Agong lantik caretaker Prime Minister untuk enam hingga 12 bulan. Salam Maal Hijrah,” kata bekas Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) itu lagi.

Puad memang dikenali sebagai pemimpin tinggi Umno yang secara terbuka mengulangi desakan agar partinya menarik sokongan daripada kerajaan PN.

Antaranya, beliau mengaitkan kegagalan kerajaan PN memerangi pandemik Covid-19 yang telah meragut ribuan nyawa di negara ini.

Untuk rekod, Umno memenangi 54 kerusi Parlimen dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) pada 2018.

Setakat semalam, 15 Ahli Parlimen Umno memilih untuk berada di blok pembangkang manakala 23 wakil rakyat parti itu menyokong Mahiaddin atau tidak menyatakan pendirian.