Malaysia Dateline

Dulu anti vaksin, kini abang Siti Sarah akui amat ngeri di ICU

Abang Allahyarham Siti Sarah Raissuddin, Ahmad Firdous akhirnya tampil mengakui kepentingan mendapatkan suntikan vaksin Covid-19.

Beliau yang sebelum ini meragukan suntikan vaksin itu, bulan lalu ditidurkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) akibat dijangkiti virus berbahaya itu.

Walau bagaimanapun, selepas melihat sendiri keadaan pesakit yang keluar masuk ke ICU, beliau menyedari bahawa Covid-19 itu adalah benar.

“Saya tahu penderitaan orang yang kena Covid-19 sangat teruk,” luahnya secara langsung di Facebook.

Ahmad Firdous mengakui sikapnya sebelum ini yang menolak vaksin namun beliau menyifatkan hal tersebut sebagai pengajaran terhadapnya.

“Apabila dah kena Covid-19 walaupun tahap satu atau dua, kena ingat, anda boleh jangkitkan kepada orang lain yang tahap antibodi masing-masing berbeza.

“Pengalaman saya berbaring di ICU, ada yang baru masuk ditidurkan, esok pagi dialisis, terus … . Saya lihat di ICU, amat mengerikan, amat menakutkan,” katanya lagi.

Abang Siti Sarah yang dirawat di Hospital Serdang ditidurkan selepas 10 hari positif Covid-19.