Malaysia Dateline

Selepas ditidurkan, abang Siti Sarah kini ‘tidak berapa baik’

Abang Allahyarham Siti Sarah Raissuddin, Ahmad Firdous yang diiangkiti Covid-19 dan ditidurkan di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Serdang, sejak semalam, kini dalam situasi tidak ‘berapa baik’.

Perkara itu diumumkan selebriti, Shuib Sepahtu, 37, ketika selesai majlis tahlil dan bacaan Yassin untuk Allahyarham Siti Sarah yang dikendalikan secara virtual, malam tadi.

Shuib atau nama sebenar, Shahmira Muhamad berkata, keadaan Ahmad Firdous itu dimaklumkan oleh kakak iparnya, kira-kira jam 11 pagi semalam.

“Semalam, saya ada maklumkan di Instagram (IG) mengenai keadaan abang ipar yang dimasukkan ke ICU dan ditidurkan pada jam 5 pagi.

“Pada jam 11 pagi, kakak ipar hubungi dan beritahu keadaan Ahmad Firdous tidak berapa baik.

“Doktor menjelaskan situasi dialami abang ipar hampir sama dengan arwah Siti Sarah… Paru-paru abang ipar tidak baik,” jelas pelawak dan juga penyampai radio Hot FM itu.

Bapa kepada empat cahaya mata tersebut berkata, Allahyarham Siti Sarah rapat dengan abangnya yang disahkan positif Covid-19 pada 2 Ogos itu.

“Semoga Allah memberi kemudahan kepada abang ipar. Dia baik orangnya dan sangat rapat dengan arwah isteri.

“Semoga dengan bacaan Yassin dan doa pada malam ini (tadi), abang ipar terus diberi kekuatan untuk bangun dan berjuang. Insya-Allah,” kata Shuib.

Untuk rekod, Allahyarham Siti Sarah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Pusu, Gombak, pada 9 Ogos lalu selepas menghembuskan nafas terakhir dalam usia 36 tahun jam 5.13 pagi, pada hari sama.

Ribuan orang menyaksikan proses pengebumian penyanyi lagu ‘Kesetiaan’ itu secara langsung menerusi beberapa portal media tempatan.

Malah, pemergian anak penyanyi dan pelakon era 1980-an itu turut mendapat liputan agensi berita berpangkalan di London, BBC News.

Terdahulu, Siti Sarah pada 27 Julai lalu mengesahkan dirinya dan keluarga positif Covid-19.

Shuib yang juga pemilik rangkaian cawangan kedai minuman Bubble Bee itu berkata, dua kakitangannya turut disahkan positif wabak berbahaya itu.

Pecah rekod

Dalam hal berkaitan, seramai 1,059 kes dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) termasuk 543 pesakit memerlukan alat bantuan pernafasan sebagai talian hayat setakat semalam.

Sehingga jam 12 tengah hari semalam juga, sebanyak 318 kes kematian dilapor menjadikan jumlah keseluruhan korban mencecah 11,691 kes iaitu 0.87 peratus.

Daripada 318 kes maut itu, 93 kes BID iaitu kes kematian di luar hospital melibatkan 57 warganegara manakala 36 lagi bukan warganegara.

Jumlah kes BID semalam juga pecah rekod sebagai kes BID tertinggi pernah dilaporkan.

Semakan Malaysia Dateline mendapati sebanyak 2,667 pesakit Covid-19 meninggal dunia sejak 1 Ogos hingga 12 Ogos.

Ini bermakna sepanjang tempoh 12 hari, secara purata berlaku sembilan kes kematian akibat Covid-19 setiap sejam di negara ini.

Semalam juga, berlaku pertambahan 21,668 kes baharu sekaligus rekod tertinggi kes harian menjadikan jangkitan Covid-19 di seluruh negara berjumlah 1,342,215 kes.

Jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan di negara ini juga semakin melambung dengan 237,021 kes.

Untuk rekod, sejak 3 Ogos lalu, kes aktif Covid-19 melebihi angka 200,000 diikuti dua hari selepas itu, kes kumulatif kematian pula kemudiannya mula melepasi angka 10,000.