Malaysia Dateline

Elak Dewan Rakyat kecoh berulang: Bekas MP ini cadang beberapa langkah

Parlimen perlu menjadi tempat yang diisi oleh wakil rakyat yang tertib dan sopan dalam proses membuat undang-undang serta membangkitkan isu isu rakyat.

Malangnya, sidang Dewan Rakyat pada 19 dan 20 Disember lalu telah dicemari oleh pelbagai ucapan yang tidak wajar dikeluarkan oleh ahli-ahli Yang Berhormat.

Oleh itu, Speaker Dewan Undangan Negeri Johor, Datuk Dr Puad Zarkashi berasa malu sesi Dewan Rakyat yang lalu telah dicemari kekecohan yang tidak sepatutnya berlaku.

“Apabila menyaksikan persidangan Parlimen yang baru tamat menjadikan saya rasa malu. Bukan sahaja malu kepada rakyat tetapi malu kepada dunia luar.

“Dulu saya dalam dewan, sekarang saya di luar. Baru saya nampak buruknya gelagat ahli Parlimen terjerit-jerit sampai keluar perkataan beruk dan kera,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Perkataan beruk dan kera digunakan oleh Ahli Parlimen Pendang dan Hulu Langat ketika mereka saling menuduh sesama mereka.

Puad Zarkashi

Beliau turut insaf daripada perkara di atas kerana pernah menyertai sidang yang kecoh ketika menjadi Ahli Parlimen Batu Pahat selama satu penggal.

Justeru, Puad mencadangkan beberapa kaedah yang boleh dipertimbangkan agar kekecohan seperti itu tidak berulang.

“Ada yang mencadangkan supaya Parlimen menggunakan budaya mahkamah bila berhujah. Pendakwa dan peguambela berdebat secara bersopan. Mereka hormat arahan hakim.

“Bolehkah itu dibuat? Masalahnya ramai ahli Parlimen adalah peguam dan ada bekas hakim. Tetapi bila masuk Parlimen, mereka lagi kuat menjerit dan tidak patuh arahan Speaker,” katanya.

Puad turut mencadangkan Dewan Rakyat mengambil contoh Peraturan Mesyuarat 45(2) Dewan Negeri Johor untuk mengatasi masalah berkenaan.

“Justeru, perlukah standing order Parlimen dipinda supaya lebih ketat? Kalau Akta Anti Lompat Parti boleh dibuat maka amat wajar juga Peraturan Tetap Dewan dipinda.

“Antaranya, tidak lagi dibenarkan pencelahan semasa ahli Dewan sedang bercakapMungkin boleh dicontohi Standing Order Perkara 45 (2) Dewan Negeri Johor di mana pencelahan tidak dibenarkan melainkan jika menyalahi peraturan mesyuarat.

“Ini membolehkan setiap ahli Dewan dapat berhujah, mengkritik, menegur dan memberi pandangan dengan lancar tanpa gangguan,” katanya lagi.

Baca juga Identiti Malaysia di tangan PM Anwar: Ini tiga perkara rakyat di Malaysia Timur dambakan