Elak kontraktor kecil Bumiputera gulung tikar, tingkatkan kadar harga kerja turap semula jalan

Oleh ARIF ATAN

Ramai kontraktor Bumiputera terutama daripada kelas E dan F sudah tidak mampu melaksanakan projek dan menyerah kembali projek yang dianugerahkan oleh kerajaan negeri melalui syarikat konsesi.

Contohnya di Kedah, kontraktor akan melakukan kerja-kerja menurap semula jalan di bawah syarikat konsesi BDB Infra secara cabutan undi terutamanya bagi Fasa 2 tahun 2022.

Kerja cabutan undi ini akan dilaksanakan melalui satu syarikat konsesi kerajaan negeri iaitu syarikat BDB Infra di bawah seliaan Jabatan Kerja Raya Negeri Kedah.

Kadar upah harga bagi kos menurap semula jalan yang diberi dalam kiraan meter persegi (sqm) yang ditetapkan oleh Jabatan Kerja Raya kepada BDB Infra adalah pada paras yang rendah dan masih sama seperti tahun-tahun sebelum ini.

Walhal, harga premix sudah mencecah hampir 50 peratus kadar kenaikan disebabkan keterikatan kerajaan negeri dengan perjanjian kontrak Kerajaan Persekutuan.

Kementerian Kewangan harus meneliti semula kos kadar upah menurap jalan yang baharu.

Kerajaan Persekutuan di bawah Kementerian Kewangan seharusnya meneliti semula kos kadar upah menurap jalan yang baharu dan sepatutnya ia diwujudkan dalam Pelaksanaan Syarat Perubahan Harga (VOP).

Kadar upah harga semasa bagi menurap semula jalan menggunakan premix jenis ACWC14 yang ditetapkan oleh syarikat konsesi BDB Infra kepada kontraktor adalah sebanyak RM 29.60/meter persegi.

Kadar upah harga ini sudah tidak lagi relevan jika dibandingkan dengan kenaikan harga bahan
premix semasa iaitu RM 216.00/tan berbanding harga bahan premix pada 2020 hingga 2021 adalah dalam lingkungan harga RM 160.00 -170.00/tan.

Jika dihitung pada pengiraan kasar, keuntungan yang diperolehi bagi kontraktor menjalankan projek menurap semula jalan ini tidak mencapai keuntungan bersih melebihi 3 peratus.

Peratus keuntungan ini adalah terlalu kecil dan tidak masuk akal jika dibandingkan pada peratusan tahun-tahun lepas iaitu keuntungan sebanyak 20 peratus hingga 30 peratus untung bersih.

Kerajaan perlu menangani isu ini dengan segera agar kelompok kontraktor kecil ini dapat bertahan dan tidak gulung tikar pada hujung tahun ini.

Hampir 50,000 syarikat kontraktor yang tidak dapat memperbaharui lesen mereka atas faktor tidak mampu untuk meneruskan lagi perniagaan dalam industri pembinaan kerana ditekan dengan kenaikan harga barang yang keterlaluan.

Jika tidak ditangani dengan segera ia akan memberi impak buruk terhadap masyarakat dan ekonomi
setempat.

*FIRAS NASIRUDDIN merupakan Exco Akademi Muda, Pejuang Muda Malaysia, Parti Pejuang Tanahair (Pejuang).

Baca juga ‘Banyak kutip tol tapi lebuh raya masih tidak mampu sediakan lampu’

Baca juga Kanak-kanak maut dijangkiti HIV selepas diliwat 4 beradik