Tidak syak lagi perbahasan hari ini (11 April 2022) dipenuhi dengan semangat mencapai konsensus nasional.
Perbahasan hari ini berlatarkan krisis politik pasca Langkah Sheraton yang meninggalkan implikasi besar kepada ketidakstabilan politik lantas menimbulkan ketidakpercayaan rakyat kepada Ahli Parlimen/Adun dan parti politik secara umumnya.
Memorandum Persefahaman Bersama (MoU) PH dan Perdana Menteri tidak syak adalah faktor terpenting hari ini Parlimen berbahas dan menyokong usul ini rentas parti. Kepada mereka yang skeptikal tentang MoU mungkin tidak memahami bahawa inilah syarat utama perjanjian dibuat.
Hasilnya adalah perbincangan kita hari ini demi kepentingan rakyat bagi mengatasi punca utama ketidakstabilan iaitu acara lompat parti besar-besaran. Syabas kepada semua pihak!
Isi kandungan pindaan ini penting kerana tujuan utamanya adalah untuk mengelak mandat rakyat dipermainkan tanpa membuka ruang kepada salah guna pindaan untuk menindas hak kebebasan berpersatuan.
Parlimen diberi ruang menggubal undang-undang dalam pindaan ini ke atas Ahli Legislatif Persekutuan dan Ahli Legislatif Undangan Negeri yang dihadkan erti kebebasan ke atas mereka. Ini demi menjaga kepentingan mandat lebih diutamakan dalam menilai apa sahaja kekurangan yang ada dalam pindaan ini.
Pindaan ini sebagai ‘enabler’ (membuka lakuan) kepada penggubalan akta khusus di Parlimen untuk mengatasi para ‘MP atau ADUN katak’ secara khusus.
Namun demikian keseluruhan konsep ini perlu diperincikan bersesuaian dengan kehendak prinsip keadilan yang menuntut realiti tertentu diambil kira dan untuk memelihara maslahah yang lebih besar tercapai.
Firman Allah dalam Surah al-Nahlu, ayat 90 adalah dari konsep keadilan yang perlu diperincikan kerana keadilan adalah nilai teras yang terlaksana mengikut realiti semasa yang akan menjamin teras ini tidak dikompromi.
Menjual mandat rakyat
Asas permasalahan lompat parti perlu didefinisikan oleh faktor apakah dorongan yang menyebabkan berlakunya seorang MP atau ADUN itu melompat kerana ini adalah soal fundamental yang boleh dianggap sebagai pembelotan kepada mandat rakyat.
Soal moral paling utama dalam hal melompat ini kerana terlipat dalamnya isu sogokan dan kepentingan diri lalu menggadai suara rakyat yang dimandatkan kepada seseorang MP atau ADUN.
Budaya ini perlu dibanteras untuk menghalang MP dan ADUN yang sanggup menjual maruahnya dengan menjual mandat rakyat.
Salah satu elemen maslahah dalam siyasah syari’eyah ialah meneliti kesan daripada keputusan besar yang dibuat dalam pindaan ini.
Pertama, pindaan ini tidak boleh terbuka kepada salahguna kepada tujuan lain. Kedua, pindaan ini jika ianya satu ‘enabler’ memerlukan akta baru lain yang segala keputusan hanya memerlukan majoriti mudah berbanding pindaan Perlembagaan yang memerlukan dua pertiga majoriti.
Apakah kemungkinan akta baharu nanti ini terdedah kepada salah guna pada masa hadapan lantas menjejaskan perkara asal dalam Perkara 10 Perlembagaan negara yang merupakan bahagian hak asasi dalam Perlembagaan negara?
Saya lebih cenderung untuk melihat isu lompat parti ini diatasi dengan pindaan Perlembagaan yang lebih spesifik menangani isu definisi lompat dan tidak sahaja pindaan dalam perkara 10 (3A).
Keperluan definisi lompat boleh dibawa pindaan dalam perkara 160 Perlembagaan. Asas pandangan saya ini berpandukan kepada dua alasan iaitu pindaan Perlembagaan lebih supreme martabatnya dan keperluan lulus dua pertiga majoriti menjamin ianya tidak disalahgunakan di masa hadapan.
Dengan ini limitasi dalam Perkara 10 tidak menjadi terlalu luas dan potensi terbuka kepada manipulasi dapat ditangani.
Perbahasan hari ini adalah kemenangan rakyat dan diharapkan dapat mengembalikan kepercayaan rakyat kepada institusi politik pasca Langkah Sheraton.
Perincian kepada semua persoalan dan pertimbangan antara kebebasan dan salahguna kebebasan perlu dibuat secara bi-partisan di Parlimen dalam satu jawatankuasa khas sebelum satu sidang khas lain diadakan untuk membuat keputusan muktamad demi memartabatkan mandat rakyat dan memastikan amanah yang dibawa oleh MP atau ADUN dipelihara.
“Wahai orang yang beriman, janganlah kalian mengkhianati Allah dan RasulNya nanti kemudian kalian mengkhianati Amanah kalian sedangkan kalian mengetahuinya ia satu pengkhianatan” (Al Anfal: 27)
*DATUK SERI DR. MUJAHID YUSOF RAWA merupakan Ahli Parlimen Parit Buntar merangkap Naib Presiden AMANAH. Artikel ini merupakan ucapan bahas pinda Perlembagaan Sesi Khas Parlimen, 11 April 2022.
Baca 39 Ahli Parlimen ‘katak’ perlu ambil tanggungjawab
Baca Anak hanya puasa separuh hari, Mufti beri penjelasan hukum puasa bagi kanak-kanak