Bantah kenaikan harga barang! Pengerusi, Ketua Pemuda AMANAH Terengganu diarah ke balai polis

Oleh BORHAN AHMAD

Pengerusi AMANAH Terengganu Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah dan Ketua Pemuda AMANAH Terengganu Zamir Ghazali diarahkan ke Balai Polis Kuala Terengganu selepas mereka mengadakan flash mob membantah kenaikan harga barang hari ini.

Raja Bahrin dilihat tiba di Balai Polis Kuala Terengganu kira-kira jam 6.30 petang ini selepas selesai flash mob terhalang yang beliau dan rakan-rakannya lakukan.

Turut dipanggil ke balai polis adalah Ketua Pemuda AMANAH Terengganu Zamir Ghazali.

Dua hari lepas, Zamir mencadangkan agar kerajaan memberikan subsidi untuk membolehkan industri pertanian berasaskan makanan boleh menguntungkan pengusahanya sebagaimana dilaksanakan di negara-negara maju.

Flash mob yang dibuat oleh Pengerusi AMANAH Terengganu dan rakan-rakannya hanya ditonton media apabila jalan tempat mereka mengadakannya ditutup.

Raja Bahrin memberitahu media, sebagaimana flash mob yang dilakukan sebelum ini, jalan menunju tempat beliau dan rakan-rakannya berkumpul di tutup.

Raja Bahrin dan rakan-rakannya mengadakan flash mob membantah barang naik di Kuala Terengganu.

“Petang ini kami di Terengganu sekali lagi turun membawa mesej kepada rakyat tentang keadaan semasa hari ini melalui flashmob.

“Namun, malangnya sekali lagi laluan jalanraya ditutup dan dihalang laluan ke arah lokasi yang kami lakukan flashmob!” kata beliau.

AMANAH mengadakan flash mob #membantah kenaikan harga barang di seluruh negara hari ini selepas berjanji berbuat demikian ketika membuat bantahan kali pertama 1 Julai lepas di perkarangan Masjid Kampung Bharu, Kuala Lumpur.