Malaysia Dateline

Gaji RM3000, belia Malaysia kurang minat anggap kerja tebar roti canai untuk warga asing

Walaupun diberi gaji RM3000 sebulan dan bekerja sampai tengah hari, golongan belia masih kurang minat dan menganggap kerja tebar roti canai untuk warga asing.

Susulan kurang minat itu, Malaysia bakal berdepan kekurangan penebar roti canai selepas pekerjaan itu tidak lagi mendapat tempat dalam kalangan pekerja tempatan.

Apatah lagi, isu kekurangan pekerja asing terutama bagi sektor restoran juga menjadikan kerja berkenaan berada pada kelas tersendiri dan hanya dipelopori mereka yang mempunyai minat saja.

Sementara golongan muda hari ini ini lebih menumpukan kepada pekerjaan di dalam gig ekonomi dan berkaitan dengan teknologi serta media sosial yang dilihat lebih mudah.

Gaji RM3000, belia Malaysia kurang minat anggap kerja tebar roti canai untuk warga asing
Roti canai sarapan popular rakyat negara ini

Padahal rata-rata penebar roti canai di restoran mamak di negara ini menerima gaji antara RM2,000 hingga RM3,000 sebulan berserta penginapan dan manfaat perubatan.

Kebanyakan penebar ini akan dibahagi kepada dua syif kerja iaitu pagi dan petang di mana mereka akan menebar ratusan roti canai seawal jam 6 pagi sehingga tengah hari sebelum digantikan rakan mereka sehingga malam.

Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) Datuk Jawahar Ali Taib Khan memberitahu isu kekurangan pekerja ketika ini menyebabkan ada penebar roti canai yang perlu bekerja lebih masa untuk memenuhi permintaan pelanggan.

“Kebanyakan mereka ini memiliki pengalaman di negara asal dan selepas bekerja di negara ini dalam tempoh beberapa tahun, mereka lebih mahir menebar roti canai mengikut permintaan pelanggan.

“Sebelum ini, Presma pernah menyediakan latihan kepada pekerja tempatan, tetapi entah di mana silapnya, hanya dalam jumlah yang kecil saja yang boleh bertahan, selebihnya terpaksa bergantung kepada pekerja asing,” katanya.

Apa yang penting katanya, ketika ini bagaimana untuk mengembalikan minat pekerja tempatan untuk membina kerjaya sebagai penebar roti canai sama ada di restoran mamak atau pun gerai medan selera.

Dalam pada itu Exco Majlis Belia Malaysia (MBM) Amir Syarifuddin Abdul Majid berkata, perniagaan roti canai dianggap pekerjaan yang biasa-biasa saja memandangkan kecenderungan monopoli oleh pemilik restoran asing.

sejak dulu lagi, pembabitan belia di dalam cabang perniagaan itu amat kurang biarpun mempunyai permintaan kerana roti canai adalah menu paling digemari khususnya ketika sarapan pagi.

“Faktor ini mendorong belia lebih gemar menceburkan diri dalam bidang lain. Mereka gemar berniaga, mempunyai asas sebagai usahawan, tetapi gemar untuk aktif sebagai usahawan dengan teknologi semasa.

“Kecuali jika ada yang mewarisi perniagaan daripada ahli keluarga. Kalau ada pun, hanya beberapa saja berbanding yang memang ingin menjadi penebar roti canai,” katanya dipetik Harian Metro.

Beliau berkata, perubahan persepsi belia pada kerjaya juga berubah disebabkan dorongan pempengaruh di media sosial yang lebih bersifat populis.

Katanya, ia mengundang tanggapan golongan belia bahawa media sosial mampu menjadi platform menjana kekayaan dan kejayaan dengan lebih mudah.

“Justeru, bagi mengimbangi keperluan pada masa depan, pihak berwajib perlu mengetengahkan kemahiran roti canai di dalam jurusan yang berkaitan sebagai salah satu kaedah.

“Sebagai contoh meletakkan modul pembuatan roti canai di dalam silibus pembelajaran kulinari atau katering.

“Selain itu, kita juga perlu mengetengahkan penebar roti canai yang terdiri dalam kalangan belia sebagai ikon keusahawanan yang berjaya. Dengan cara itu, kita bukan saja akan mengekalkan roti canai sebagai menu Malaysia, tetapi juga membangunkan kerjaya berasaskan selera tempatan,” katanya.

Katanya, inisiatif seperti menyediakan pertandingan penebar roti canai wajar diadakan sebagai permulaan untuk mengangkat kerjaya penebar roti canai ini pada masa depan.

Baca juga: Minah saleh ini kata nasi lemak Singapura lagi sedap dari Malaysia, tapi lain pula rupa dia

Baca juga: Warga emas ditemui mati dalam rumah berkunci