Malaysia Dateline

Gara-gara baling telur pada Raja Charles, lelaki ini dilarang bawa telur di khalayak ramai

Seorang lelaki yang ditahan semalam gara-gara membaling sebutir telur kepada Raja Charles III, rupanya seorang pelajar universiti Britain yang berusia 23 tahun.

Selepas ditahan pasukan polis Yorkshire Utara, lelaki berkenaan kemudian dibebaskan daripada tahanan pada jam 10 malam hari sama tetapi dengan syarat di mana dia dilarang membawa telur di khalayak ramai sebagai sebahagian daripada syarat jaminannya.

Dia juga diberi arahan untuk menjauhkan diri dalam jarak 500 meter dari raja.

Menurut polis, Patrick Thelwell, 23, ditangkap kerana disyaki melakukan kesalahan mengganggu ketenteraman awam.

Sejurus selepas dia dibebaskan, lelaki berkenaan memberitahu akhbar Daily Mirror bahawa dia diserang oleh awam yang memberi ugutan bunuh terhadapnya.

“Orang ramai menarik rambut saya, mereka meludah saya. Malah mengatakan saya patut dibunuh ketika itu. Orang ramai hilang akal,” katanya.

Ketika hari kejadian, tiada satu pun daripada telur itu mengenai Charles, 73, dan dia dibawa pergi oleh pengawal.

Thelwell berkata dia sudah didakwa mengikut Seksyen 4 kerana mengganggu ketenteraman awam dan perlu hadir ke mahkamah pada 1 Disember depan.

Dia juga tidak dibenarkan memiliki sebarang telur di khalayak ramai, yang didakwanya sudah dipinda supaya dia boleh pergi membelinya.

Baca juga: Lepas gaji penjawat awam, BKM Fasa 4 pun dapat sebelum mengundi

Baca juga: Kecoh lelaki baling telur ke arah Raja Charles dan Permaisuri