‘Geng tebuk atap sebenarnya yang tidak bebas’ – Rafizi selar PN isu MoU gabungan Kerajaan Perpaduan

Oleh ARIF ATAN

Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli menyelar Perikatan Nasional (PN) yang berterusan mempertikai Kerajaan Perpaduan sejak keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Wakil rakyat Parlimen Pandan tersebut menegaskan bahawa hanya ‘geng tebuk atap’ sebenarnya tidak bebas bukannya ahli Parlimen.

“PN terus pertikai segala perkara. Mereka tidak bentang idea baru atau rancangan ekonomi untuk membantu ekonomi rakyat di negeri-negeri yang mereka menang yang lebih mundur.

“Terbaru, mereka pertikai Perjanjian Kesefahaman Kerjasama (atau Coalition Agreement) yang membentuk Kerajaan Perpaduan.

“Konon ini ke arah pemerintahan diktator yang mengekang kebebasan ahli-ahli Parlimen. Saya dan YB William Leong yang menyediakan draf perjanjian ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

PN dilihat berterusan mempertikai Kerajaan Perpaduan.

Rafizi berkata, ahli Parlimen adalah bebas seperti biasa memandangkan perjanjian persefahaman (MoU) antara Pakatan Harapan (PH) dengan gabungan parti yang menyokong pembentukan Kerajaan Perpaduan bukannya menuju ke arah pemerintahan diktator seperti didakwa.

“Ahli Parlimen bebas mengundi mengikut kepakaran dan prinsip mereka kecuali dalam undi-undi yang mempunyai kesan kepada keabsahan kerajaan.

“Ahli Parlimen bebas seperti biasa. Yang tidak bebas adalah geng tebuk atap yang tidak lagi boleh tawar-menawar mencuri ahli-ahli Parlimen hingga menghuru-harakan kestabilan politik negara,” bidasnya.

Sehubungan itu, Rafizi yang juga Menteri Ekonomi menyindir PN yang diterajui Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan menyifatkan blok pembangkang itu faham mengenai makna diktator.

“Yang faham makna diktator ni hanyalah PN sebab mereka yang menggunakan darurat untuk memerintah walaupun tidak cukup majoriti.

“Tak ubah seperti pepatah mengata dulang paku serpih,” tambahnya lagi.

Baca juga Junjung semangat kerjasama, pembelaan ekonomi antara intipati perjanjian persefahaman Kerajaan Perpaduan