Malaysia Dateline

Junjung semangat kerjasama, pembelaan ekonomi antara intipati perjanjian persefahaman Kerajaan Perpaduan

Menjunjung semangat kerjasama, kesetiaan kepada Persekutuan dan perkongsian kuasa secara adil di antara Semenanjung, Sarawak dan Sabah antara perkara pokok dalam permuafakatan antara gabungan parti dalam Kerajaan Perpaduan.

Turut menjadi intipati dalam perjanjian empat blok politik bersama Pakatan Harapan (PH) sebentar tadi ialah mengamalkan ekonomi yang adil dan dinamik berteraskan prinsip-prinsip pembangunan lestari.

Berikut intipati perjanjian persefahaman membentuk Kerajaan Perpaduan:

Matlamat

a). Parti-Parti dengan ini bersetuju untuk menjunjung kebenaran yang utuh dan dengan penuh kesetiaan kepada Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua negara dan akan memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan.

b). Parti-Parti mengisytiharkan komitmen mereka dan matlamat Kerajaan Perpaduan Malaysia seperti berikut:

i) Mewujudkan masyarakat adil dan negara demokratik yang progresif, inklusif serta bersatu padu berlandaskan acuan Malaysia dan berteraskan prinsip Rukun Negara;

ii) Mempertahankan sistem Raja Berperlembagaan, memperkukuh Demokrasi Berparlimen dan mendukung hak serta kuasa rakyat dan berusaha untuk memantapkan sistem politik negara yang sesuai dengan kehendak serta kepentingan rakyat;

iii) Memelihara Islam sebagai agama Persekutuan sambil memastikan bahawa hak masyarakat bukan Islam mengamalkan agama atau kepercayaan masing-masing terus terjamin seperti termaktub dalam Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan, dan menggalakkan peranan agama serta nilai-nilai sejagat untuk menegakkan kebenaran, keadilan, ketinggian akhlak dan martabat manusia dengan memupuk semangat toleransi dan saling menghormati sesama insan;

iv) Mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi, di samping menjamin hak rakyat mengguna, mempelajari dan mendapat pendidikan dalam bahasa-bahasa lain seperti termaktub dalam Perkara 152 (tertakluk kepada Perkara 161) Perlembagaan Persekutuan; dan menggalak perkembangan kebudayaan serta kesenian Malaysia, berasaskan unsur-unsur unggul daripada semua warisan peradaban yang wujud di negara ini;

v) Menegakkan keluhuran dan kedaulatan undang-undang, kebebasan kehakiman dan institusi-institusi awam, dan keberkesanan serta profesionalisme pasukan keselamatan;

vi) Memperkuatkan dan mengupayakan pemisahan kuasa di antara cabang-cabang eksekutif, perundangan dan kehakiman Kerajaan Persekutuan, supaya satu sistem pemerintahan yang mempunyai timbang tara yang kuat dapat dipupuk demi mengelakkan pemusatan kuasa dan penyelewengan;

vii) Menjamin kebebasan berfikir, bersuara, bergerak, berhimpun dan berpersatuan kepada semua dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan dalam acuan Malaysia, ke arah membentuk masyarakat majmuk yang mengutamakan kemuliaan insan, nilai persaudaraan sejagat sesama insan, prinsip amanah dan kebertanggungjawaban yang diamalkan dengan tegas dalam semua bidang politik, pentadbiran dan ekonomi;

viii) Mengukuhkan sistem pemerintahan Persekutuan yang adil, bertanggungjawab serta demokratik dalam mengimbangi kepentingan negeri-negeri dengan kekuasaan kerajaan Pusat selaras dengan semangat Persekutuan yang menjadi asas pembentukan Malaysia;

ix) Menjunjung semangat kerjasama, kesetiaan kepada Persekutuan dan perkongsian kuasa secara adil di antara Semenanjung, Sarawak dan Sabah dengan memperkasakan kedudukan politik dan ekonomi yang saksama mengikut kerangka Perjanjian Malaysia tahun 1963, Laporan IGC dan Suratcara dilampir padanya di dalam Perlembagaan Persekutuan serta Perlembagaan-Perlembagaan Sarawak dan Sabah.

x) Mengamalkan ekonomi yang adil dan dinamik berteraskan prinsip-prinsip pembangunan lestari, yang mengutamakan pertumbuhan serta pengagihan yang adil, dan bebas daripada sebarang bentuk penyelewengan, demi membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum serta memanfaatkan potensi ekonomi setiap individu dan kumpulan tanpa mengira latar belakang;

xi) Memastikan pembelaan ekonomi yang adil berasaskan keperluan kepada setiap rakyat yang miskin dan terbiar tanpa mengira latar belakang, kaum dan wilayah, untuk mempercepatkan mobiliti sosial di dalam masyarakat dan menyerlahkan potensi ekonomi yang dinikmati bersama dalam konteks kehidupan bernegara dan masyarakat majmuk;

xii) Menyediakan kemudahan pendidikan, kesihatan, perumahan dan pengangkutan awam yang bermutu sebagai tanggungjawab sosial pemerintah, terutama sekali bagi golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

xiii) Memperjuangkan serta menjamin hak bekerja, upah yang adil dan setara dengan kelayakan dan pengalaman pekerja, keselamatan di tempat kerja dan mutu kehidupan yang baik untuk setiap rakyat;

xiv) Mengiktiraf martabat dan peranan wanita sebagai tonggak dan penggerak masyarakat, menghayati falsafah hormat wanita, memastikan wanita bebas daripada diskriminasi dan eksploitasi, mengupayakan wanita untuk mencapai kesaksamaan dalam kepimpinan dan membuat keputusan dengan sekurangkurangnya penglibatan tiga puluh peratus, demi memastikan hak serta kepentingan mereka terpelihara;

xv) Memperjuangkan hak dan pengembangan potensi belia dan remaja serta menjamin peranan yang bermakna bagi mereka dalam semua bidang kehidupan;

xvi) Meningkatkan mutu hidup Orang Asal, di samping menjaga warisan adat mereka, menyediakan rancangan pembangunan yang sesuai setelah berunding dengan mereka, dan melindungi hak mereka ke atas Tanah Adat;

xvii) Melindungi alam semula jadi daripada pemusnahan, perubahan iklim; mencegah perosakan serta meningkatkan mutu alam sekitar dan memastikan pembangunan yang mampan dan lestari; dan

xviii) Mengembangkan dasar dan hubungan luar yang berkecuali, bebas dan aktif dengan mengutamakan penggalakan perdagangan, persaudaraan sejagat sesama Islam, kesatuan ASEAN, hak asasi manusia, perubahan iklim, penyelesaian konflik antarabangsa secara aman dan keselamatan insan.

Jemaah Menteri, Anggota Pentadbiran, Keanggotaan dan Kepimpinan Parlimen

a) Jemaah Menteri hendaklah terdiri daripada 28 orang Menteri atau apa-apa jumlah yang dianggap praktikal dan berkesan untuk pentadbiran Kerajaan Persekutuan.

b) Kerajaan Perpaduan akan memperkasa dan mengupaya Parlimen sebagai mekanisme timbang tara dengan mewujudkan Jawatankuasa-jawatankuasa Pilihan Khas bagi memantau dan menyemak portfolio-portfolio Jemaah Menteri.

c) Portfolio Jemaah Menteri hendaklah diagihkan oleh Perdana Menteri setelah melalui perbincangan dengan ketua-ketua Parti-Parti lain yang membentuk Kerajaan Perpaduan dan yang menjadi pihak-pihak dalam Perjanjian Persefahaman Kerjasama ini, iaitu terdiri daripada PH, BN, GPS, GRS dan WARISAN.

d) Pembahagian portfolio Jemaah Menteri dan pengerusi Jawatankuasa-jawatankuasa Pilihan Khas hendaklah berkadar dengan jumlah Ahli Parlimen setiap parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan.

e) Apa-apa perubahan kepada pembahagian portfolio Jemaah Menteri dan pengerusi Jawatankuasa-jawatankuasa Pilihan Khas antara parti-parti hendaklah dibincangkan oleh Perdana Menteri dengan ketua-ketua parti lain yang membentuk Kerajaan Perpaduan dan yang menjadi pihak-pihak dalam Perjanjian Persefahaman Kerjasama ini, iaitu terdiri daripada PH, BN, GPS, GRS dan WARISAN.

Perdana Menteri berhak merombak dan merubah jumlah, portfolio dan lantikan ke Jemaah Menteri atau apa-apa lantikan yang dipersetujui melalui Perjanjian Persefahaman Kerjasama ini dengan persetujuan majoriti ketua-ketua parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan dan yang menjadi pihak-pihak dalam Perjanjian Persefahaman Kerjasama ini.

f) Kerajaan Perpaduan Malaysia ini memberi komitmen untuk mencapai sasaran 30 peratus penglibatan wanita di peringkat anggota pentadbiran.

Baca juga PH, BN, GRS, GPS dan Warisan meterai perjanjian, perkukuh Kerajaan Perpaduan